Saya sertai Hyrox bukan sebab ‘FOMO’, tapi saya memang suka aktiviti kecergasan – Elisya Sandha

SportsHealth & Fitness
9 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya sertai Hyrox bukan sebab ‘FOMO’, tapi saya memang suka aktiviti kecergasan – Elisya Sandha

KUALA LUMPUR: Pelakon, Elisya Sandha, menegaskan bahawa dia akan terlibat dalam sukan lasak Hyrox di Bangkok yang didorong oleh minatnya dalam aktiviti kecerdasan dan bukannya disebabkan pengaruh trend.

Elisya atau Nur Elisya Sandha Hassan, 27, berkata, penyertaannya itu merupakan sebahagian daripada sasaran peribadi untuk mencabar kemampuan fizikalnya walaupun sudah bergelar ibu.

“Orang mungkin ingat saya sekadar mengikut trend atau ‘FOMO’, tapi hakikatnya saya memang suka bersenam dan cabar diri. Walaupun sudah ada anak, saya tetap mahu cuba untuk capai salah satu impian dalam ‘bucket list’ saya.

“Saya berehat sementara daripada berlakon bagi memberi laluan kepada persediaan supaya tidaklah saya pengsan di sana nanti sebab tidak cukup rehat. Tetapi, saya bersyukur kerana menerima beberapa tawaran berlakon dan dijangka kembali ke set penggambaran pada bulan 10 depan,” katanya.

Elisya berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media drama terbaru terbitan iQIYI, Madu atau Racun, di A Quite Place, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, sokongan daripada suaminya, Uzair Haqimy Azman, turut menjadi pendorong meskipun pasangan berkenaan mempunyai minat yang berbeza.

“Saya sertai Hyrox ini dengan kawan sebab suami saya tidak suka aktiviti sebegini dan lebih suka berlari di atas treadmill sahaja. Tetapi, dia sangat memahami serta sentiasa memberikan sokongan tidak kira dalam sukan mahupun kerjaya lakonan saya,” katanya.

Untuk rekod, Hyrox ialah pertandingan kecergasan global yang menggabungkan larian sejauh 1 kilometer dengan senaman kefungsian (functional exercises) yang diulang sebanyak lapan kali berturut-turut.- UTUSAN

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved