“Saya Tak Cukup Sempurna, Banyak Kelemahan…” - Tampil Dengan Imej Berhijab, Fasha Sandha Mohon Doakan Yang Baik-Baik

9 Jan 2025 • 9:55 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon, Fasha Sandha enggan mengulas lanjut mengenai penampilan terbaharunya yang kini lebih selesa mengenakan hijab.
 

Masih belum cukup sempurna

Menurut Fasha, dia merasakan dirinya bukanlah orang yang sesuai untuk memberikan komen mengenai hal berkaitan dengan keagamaan.

“Tiada komen, maaf… Takut… Saya rasa beginilah, saya adalah seorang manusia yang tidak boleh dan tidak layak untuk bercakap tentang hal-hal yang berkaitan dengan keagamaan sebab saya belum cukup sempurna,” katanya ringkas.

Fasha berkata demikian ketika ditemui semasa malam anugerah Nona Superwoman Award 2024 yang berlangsung di M World Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.

 

Doakan yang baik-baik

Dalam pada itu, Fasha berkata masih banyak lagi kekurangan pada dirinya yang harus diperbaiki untuk menjadi lebih baik.

“Pada saya, saya banyak lagi kelemahan yang harus diperbaiki daripada bercakap tentang kebaikan diri saya.

“Saya tidak mahu komen lebih-lebih jadi saya mohon ruang untuk diri saya. Saya tak cukup bagus lagi untuk nak bercakap tentang hal apa-apa.

“Saya rasa saya tak cukup sempurna, banyak lagi kelemahan lain yang harus diperbaiki sebab saya tak cukup sempurna untuk nak bercakap apa-apa tentang hal keagamaan. 

“Saya minta doakan yang baik-baik untuk saya dan juga keluarga. Insya-Allah,” jelasnya.

 

 

 

Terdahulu, Fasha sebelum ini kerap berkongsi fotonya bertudung disebabkan salah satu watak dibawanya dalam drama bersiri Dzikir terbitan Astro.

Mengakui ramai yang menyukai imej tersebut, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan bagaimanapun mohon doa yang baik-baik untuknya.