
KUALA LUMPUR – Enggan ambil pusing, komposer dan penerbit, Ajai tidak berkecil hati dengan kritikan terhadap lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 (CDAG 2.0), termasuk dakwaan versi baharu itu gagal menandingi impak karya asal yang disifatkan terlalu mega.
Ujar Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 51, setiap karya mempunyai kelompok pendengar tersendiri, malah reaksi positif mahupun negatif terhadap sesebuah lagu tetap sebahagian daripada warna dunia hiburan.
“Pada saya, itulah hiburan. Dalam perkataan hiburan itu sendiri ada hiburan untuk mendengar, hiburan kerana suka dan hiburan kerana tidak suka.
“Bagi saya, hiburan kerana tidak suka pun tetap hiburan kerana mereka terhibur dengan perkara yang mereka tidak gemari,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas kritikan terhadap barisan penyanyi baharu, Ajai berkata, pendengar belum menyaksikan sepenuhnya kemampuan Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno ketika mempersembahkan karya tersebut secara langsung.
“Saya tidak terasa hati sebab mereka belum nampak lagi penyanyi-penyanyi ini menyanyi secara langsung.
“Apabila mereka nampak visual penyanyi-penyanyi ini menyanyi secara langsung, barulah mereka tahu bagaimana bahagian masing-masing dinyanyikan.
“Dari aspek muzik pun kita sudah jelaskan kenapa perlu berbeza dengan versi lama kerana cara nyanyian serta kemahiran vokal generasi hari ini sudah berubah,” ujarnya pada sidang media pelancaran video muzik lagu berkenaan, di sini, hari ini.
Menurut Ajai, perbezaan pendekatan vokal antara generasi terdahulu dengan penyanyi masa kini sememangnya tidak dapat dielakkan, justeru dia enggan memaksa barisan penyanyi baharu mengikut acuan asal.
“Cara nyanyian sekarang sudah berbeza. Kalau dahulu mungkin hanya seorang mempunyai lenggok vokal atau runs, selebihnya hadir dengan tanda pengenalan tersendiri.
“Generasi sekarang pula membesar dengan pelbagai bunyi dan mereka datang bersama kebolehan runs serta vokal semula jadi. Kalau kita paksa mereka menyanyi cara lama atau penyanyi lama menyanyi mengikut gaya baharu, sudah tentu akan kelihatan janggal.
“Saya tidak mahu menyalin apa ada pada versi 1.0 untuk dibawa ke versi kedua. Pada saya, versi pertama sudah terbaik untuk zamannya. Jadi sekarang saya mahu menghasilkan sesuatu terbaik untuk versi 2.0,” jelasnya.
Mengulas dakwaan tona vokal empat penyanyi terbabit kedengaran hampir sama sehingga sukar membezakan suara masing-masing, Ajai menyerahkan penilaian kepada pendengar.
Katanya, penerimaan terhadap sesebuah karya banyak dipengaruhi selera serta kecenderungan individu terhadap muzik.
“Niat saya bukan untuk membanding-bandingkan. Saya cuma mahu lagu ini lebih segar supaya dapat pergi lebih jauh.
“Pada akhirnya, kalau orang sudah tidak suka, kita beri apa pun, jawapannya tetap tidak suka juga,” tegasnya.
Untuk rekod, CDAG 2.0 dinyanyikan semula oleh Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno sebagai kesinambungan kepada karya asal.
Versi terbaharu itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan pendengar apabila ada pihak berpendapat tona vokal barisan penyanyi terbabit kedengaran hampir serupa serta kurang menampilkan keunikan tersendiri. – KOSMO! ONLINE.
The post Saya tak mahu salin versi asal dibawa kepada 2.0 – Ajai appeared first on Kosmo Online.




