‘Saya tak nak masuk campur, isu soal hakim, peguam negara’ kata Anwar mengenai keputusan DNAA Najib

LocalPolitics
20 Jun 2025 • 3:33 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan campur tangan dalam urusan kehakiman susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.

“Saya tak nak masuk campur, itu soal (kuasa) hakim…itu soal peguam negara,” katanya ringkas kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman, di Puchong, di sini.

Terdahulu, Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib, 72, untuk dilepas tanpa dibebaskan.

Perintah DNAA (lepas tanpa bebas) bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan sementara namun boleh didakwa semula sekiranya pihak pendakwaan memilih untuk mengemukakan pertuduhan pada masa hadapan.

Pada 3 Februari 2019, bekas Perdana Menteri itu didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Muniandy berkata kes terhadap Najib telah tergantung selama enam tahun sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan, hanya mengalami beberapa penangguhan sekali gus menunjukkan bahawa pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau menerima pengampunan pada Januari tahun lalu dan kini sedang menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada enam tahun. - 20 Jun, 2025