'Saya tak perlu menang setiap perbualan' – Dr Fie utamakan ketenangan, serah segala-galanya kepada ALLAH

11 Nov 2026 • 11:23 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Saya tak perlu menang setiap perbualan' – Dr Fie utamakan ketenangan, serah segala-galanya kepada ALLAH

BUKAN semua perkara perlu dijelaskan dan bukan setiap salah faham harus dibalas. Itu antara pendirian yang dizahirkan personaliti media sosial, Dr Fie Tawfek menerusi satu luahannya di Insta Story.

Dalam perkongsian itu, Dr Fie mengingatkan bahawa setiap individu yang menjadi bahan perbualan orang ramai tetap mempunyai perasaan, keluarga dan tanggungjawab. Justeru, orang ramai tidak seharusnya mudah membuat penilaian tanpa mengetahui keseluruhan kisah di sebalik sesuatu perkara.

"Saya mula sedar bahawa bukan setiap cerita perlu dipertahankan dan bukan setiap salah faham perlu dibalas.

"Namun, saya juga percaya bahawa di sebalik setiap nama yang menjadi bualan, ada seorang manusia mempunyai perasaan, keluarga, tanggungjawab dan kehidupan yang tetap perlu diteruskan meskipun segala komen sudah berhenti.

"Mudah untuk membuat penilaian apabila kita hanya mengetahui sebahagian daripada kisah seseorang. Lebih mudah untuk menghukum apabila kita sendiri tidak pernah berada di tempat mereka.

Image from: 'Saya tak perlu menang setiap perbualan' – Dr Fie utamakan ketenangan, serah segala-galanya kepada ALLAH

"Saya bukan di sini untuk meyakinkan sesiapa supaya menyukai saya, apatah lagi meminta sesiapa berpihak kepada saya. Saya tahu diri ini tidak sempurna. Saya pernah melakukan kesilapan, belajar daripada pengalaman dan masih dalam proses memperbaiki diri," kongsinya.

Dalam masa sama, doktor gigi berusia 36 tahun itu mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah menghukum sehingga terlupa bahawa setiap kata-kata boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap individu yang menjadi sasaran.

"Namun, saya berharap agar kita tidak terlalu selesa menghakimi orang lain sehingga terlupa betapa beratnya kesan yang boleh dibawa oleh kata-kata kita.

"Ada perbezaan antara meminta seseorang bertanggungjawab atas perbuatannya dengan mengaibkannya secara terbuka. Ada perbezaan antara menyuarakan pendapat dengan membuat andaian tentang keseluruhan peribadi seseorang hanya berdasarkan satu versi kejadian yang mungkin tidak kita fahami sepenuhnya.

Image from: 'Saya tak perlu menang setiap perbualan' – Dr Fie utamakan ketenangan, serah segala-galanya kepada ALLAH

"Saya mungkin tidak mampu mengawal apa yang orang lain percayai tentang diri saya, tetapi saya masih boleh memilih bagaimana saya membawa diri dalam menghadapi semua ini.

"Kepada mereka yang salah faham tentang saya, saya berharap suatu hari nanti kalian dapat melihat segala-galanya dengan lebih banyak rasa belas ihsan. Dan kepada mereka yang tetap berdiri di sisi saya tanpa memerlukan sebarang penjelasan, saya tidak akan sesekali mengambil mudah kebaikan kalian," jelasnya lagi.

Malah, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut menghargai individu yang terus memberikan sokongan tanpa menuntut sebarang penjelasan daripadanya.

"Akhirnya, saya tidak perlu memenangi setiap perbualan. Saya hanya perlu berdamai dengan diri sendiri apabila melihat wajah di cermin.

"ALLAH mengetahui apa yang diperkatakan, apa yang disembunyikan, apa yang disalahertikan dan segala yang telah ditanggung oleh hati.

"Saya serahkan kepada-NYA segala perkara yang tidak mampu saya jelaskan.

"Bukan setiap diam itu bermaksud mengakui kesalahan. Ada kalanya, diam hanyalah satu keputusan untuk melindungi ketenangan, maruah diri dan insan-insan yang paling bermakna dalam kehidupan.

"Semoga ALLAH sentiasa melembutkan hati kita, meskipun dunia tidak selalu berlaku baik kepada kita," ungkap Dr Fie lagi.

Terdahulu Dr Fie dan Kapten Amrul Nizar Anuar, 53, diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung pada 1 November lalu. 

Untuk rekod, Dr Fie atau nama sebenar, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Nubhan Ahamad pada Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada Disember 2025. 

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara itu Amrul yang merupakan seorang ahli perniagaan memiliki empat cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved