‘Saya tak sangka Hasmah meninggal dunia’ - Luahan Tun M undang sebak, Sultan Pahang titip pesanan

29 Sep 2026 • 5:03 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Saya tak sangka Hasmah meninggal dunia’ - Luahan Tun M undang sebak, Sultan Pahang titip pesanan

KEHILANGAN insan tersayang sememangnya sukar diterima, apatah lagi apabila pemergian itu berlaku ketika segala-galanya kelihatan seperti biasa.

Begitulah yang dirasai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.

Lebih menyentuh hati, negarawan berusia 101 tahun itu mengakui masih tidak menyangka kehilangan teman hidup yang menemaninya selama puluhan tahun kerana Allahyarham kelihatan berada dalam keadaan baik sehari sebelum pemergiannya.

Perasaan itu diluahkan Dr Mahathir ketika menerima kunjungan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menziarahi beliau di kediamannya di The Mines Resort City, Seri Kembangan.

Dalam video yang dimuat naik menerusi Facebook Dr Mahathir Mohamad, beliau kelihatan sebak ketika berbual ringkas bersama Al-Sultan Abdullah.

Image from: ‘Saya tak sangka Hasmah meninggal dunia’ - Luahan Tun M undang sebak, Sultan Pahang titip pesanan

“Saya tak sangka Hasmah meninggal dunia hari ini (Isnin), beliau kelihatan agak sihat semalam,” katanya.

Kunjungan tersebut turut menjadi tanda keprihatinan keluarga diraja Pahang terhadap Dr Mahathir yang sedang melalui fasa kehilangan besar dalam hidupnya.

Al-Sultan Abdullah hadir bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dr Mahathir turut menzahirkan penghargaan atas kesudian keluarga diraja Pahang meluangkan masa menziarahinya.

“Datang dari Pahang? Terima kasih lah,” ujarnya.

Dalam pertemuan singkat itu, Al-Sultan Abdullah turut menitipkan pesanan agar Dr Mahathir terus menjaga kesihatan diri ketika melalui saat sukar berkenaan.

“Tun kena jaga diri, Tun,” titah baginda.

Image from: ‘Saya tak sangka Hasmah meninggal dunia’ - Luahan Tun M undang sebak, Sultan Pahang titip pesanan

Allahyarham Tun Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi Isnin pada usia 100 tahun.

Pemergian tokoh yang cukup dekat dengan rakyat itu meninggalkan Dr Mahathir serta tujuh cahaya mata.

Allahyarham kemudiannya diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebelum disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada jam 6.20 petang hari sama.

Buat Dr Mahathir, kehilangan permaisuri hatinya itu bukan sekadar perpisahan dengan seorang isteri, tetapi pemergian teman hidup yang sekian lama berkongsi perjalanan suka dan duka bersamanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved