
KUALA LUMPUR - Tujuh dekad melayari bahtera perkahwinan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyangka isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pergi dengan mengejut.
Akui Dr Mahathir, Allahyarham berada dalam keadaan baik malam sebelumnya, walapun masih dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Menerusi video yang dikongsi menerusi akaun media sosial rasmi beliau, Tun dilihat berbual dengan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan menziarahi beliau sekeluarga semalam bagi menyampaikan ucapan takziah, selain memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dr Siti Hasmah.
“Saya tidak menyangka dia meninggal hari ini (semalam).
“Pada malam sebelumnya, dia nampak agak sihat,” katanya menerusi video berkenaan yang boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/1745162809893622
Turut berangkat bersama Al-Sultan Abdullah ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dr Mahathir menerusi pertemuan itu turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga diraja Pahang kerana berkenan berangkat dari Pahang bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Dr Siti Hasmah.
Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia kira-kira jam 9.25 pagi semalam di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.
Anak sulungnya, Datuk Seri Mokhzani Mahathir sebelum ini memaklumkan, bahawa ibunya berada dalam keadaan baik dan ceria pada malam sebelumnya, namun kesihatannya merosot secara mendadak pada keesokan pagi.
Seorang lagi anak mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Dr Mahathir berada di sisi isterinya sehingga Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah Dr Siti Hasmah kemudian dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20 Putrajaya mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara. - Getaran, 29 September 2026






