
PETALING JAYA: Selepas selamat melahirkan cahaya mata kedua baru-baru ini, pelakon dan usahawan, Datin Intan Najuwa mendedahkan dia bakal kembali aktif dalam dunia lakonan.
Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, dia berasa sangat lega dan teruja apabila urusan persalinannya berjalan lancar selain sudah bersedia untuk memulakan lakonannya dalam drama.
“Lega rasanya selepas selamat melahirkan anak dan saya memang tidak sabar untuk mula berlakon semula. InsyaAllah, sekarang ramai yang boleh jaga anak-anak sekarang.
“Jadi, saya boleh perlahan-lahan membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Mengulas lanjut, Intan memberitahu dia kini berada dalam fasa meneliti beberapa tawaran drama sebelum membuat keputusan muktamad.
“Sekarang ini saya sedang berbincang dan memilih drama mana yang mahu dimulakan dahulu. Rasa teruja tetapi dalam masa yang sama ada sedikit perasaan gementar sebab sudah lama saya tidak berlakon,” katanya.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan pilihan hatinya, Datuk Ahmad Azraf Azman, 42, dalam sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Desaru Coast, Johor pada 18 Ogos 2023 dan telah dikurniakan dua orang cahaya mata.
The post Saya tengah berbincang dan pilih drama mana yang mahu dimulakan dulu – Intan Najuwa appeared first on Utusan Malaysia.






