KUALA LUMPUR - "Saya menjunjung amanah bagi memikul tanggungjawab untuk memimpin dan menerajui Suruhanjaya ini pada saat yang amat penting dan mencabar bagi negara.”
Demikian tegas Datuk Seri Abd Halim Aman untuk memperkukuh integriti serta memimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berteraskan kedaulatan undang-undang.
Menurut beliau, amanah yang diberikan Kerajaan Malaysia untuk menggalas tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan dengan penuh iltizam demi memastikan proses keadilan tidak sama sekali digugat dalam apa jua keadaan.
"Saya akan membawa bersama landasan berteraskan kedaulatan undang-undang yang utuh dengan iltizam tidak akan sama sekali menggugat proses keadilan dalam apa jua keadaan.
"Berbekalkan pengalaman dalam institusi kehakiman juga, saya berharap dapat memacu pembentukan SPRM yang lebih tegas, berwibawa serta bebas sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, SPRM di bawah kepimpinannya akan memastikan Suruhanjaya itu bertindak tanpa gentar dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah serta salah guna kuasa.
"Ingin saya tegaskan dengan sekeras-kerasnya juga, rasuah dalam apa juga bentuk adalah sama sekali tidak boleh diterima.
"Ia merupakan pengkhianatan terbesar terhadap rakyat serta ancaman parah kepada masa depan negara," katanya.
Tambah beliau, SPRM akan bertindak dengan ketegasan yang lebih mutlak, keadilan yang saksama dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh.
"Usaha memulihkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM akan terus diperkasakan menerusi penguatkuasaan lebih tegas, peningkatan ketelusan serta pelaksanaan siasatan secara profesional.
"SPRM juga akan memastikan langkah pencegahan terus diperkasa, perlindungan terhadap pemberi maklumat akan diperkukuh selain kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan akan dipertingkatkan demi menyemai budaya integriti dalam negara," katanya.
Beliau berkata, pemulihan keyakinan masyarakat terhadap SPRM bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan bagi memastikan Suruhanjaya itu kekal teguh, telus dan bertanggungjawab.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama menolak rasuah demi membina sebuah negara yang berteraskan integriti, keadilan dan kepercayaan.
**media[3519692]**
BIODATA KETUA PESURUHJAYA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA YANG KETUJUH
NAMA PENUH: Datuk Seri Abdul Halim bin Aman
USIA: 69 tahun
TARIKH LAHIR: 10 Mac 1957
TEMPAT LAHIR: Kampung Alai, Melaka, Malaysia
PENDIDIKAN:
- Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hons) daripada Universiti Malaya (1982)
- Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) daripada University of Hull, United Kingdom (1996)
KERJAYA
1982: Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara (AGC)
1983–1990: Berkhidmat sebagai Majistret di Kluang dan Muar, serta Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka
1990–2003: Memegang jawatan Hakim Mahkamah Sesyen di pelbagai lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town, dan Ampang
2003: Menjadi Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara
2005: Dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman
2009: Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
2010: Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru
2013-2023: Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam





