Abdul Halim Mulakan Tugas Ketua SPRM, Lantikan Kontrak 2 Tahun

LocalPolitics
13 May 2026 • 3:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Abdul Halim Mulakan Tugas Ketua SPRM, Lantikan Kontrak 2 Tahun

KUALA LUMPUR - Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman, hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan semalam. 

Pelantikan Abdul Halim dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan SPRM sebagai institusi utama pencegahan rasuah negara, khususnya ketika agensi itu terus menjadi tumpuan awam berkaitan aspek tadbir urus, ketelusan dan kebebasan institusi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pengalaman luas Abdul Halim dalam bidang kehakiman dan perundangan diyakini mampu memperkukuh kredibiliti serta imej SPRM di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Tahniah atas pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei 2026.

“Saya percaya pengalaman serta kewibawaan beliau dalam bidang perundangan akan terus memperkasakan peranan SPRM sebagai sebuah badan penguatkuasaan yang dihormati di dalam dan luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut memuat naik gambar penyerahan dokumen pelantikan rasmi kepada Abdul Halim, sebagai simbolik proses peralihan kepimpinan agensi tersebut.

Dalam pada itu, Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada Azam Baki atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui SPRM.

Menurutnya, pelbagai pencapaian serta reformasi berjaya dilaksanakan di bawah kepimpinan Azam dalam memperkukuh fungsi dan peranan SPRM sebagai institusi penguatkuasaan utama negara.

“Sumbangan dan khidmat beliau akan sentiasa dikenang, dan diharapkan beliau akan terus menyumbang kepada negara dalam apa juga kapasiti pada masa hadapan,” katanya lagi.

Abdul Halim dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1982 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Undang-Undang di University of Hull, United Kingdom pada tahun 1996.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1982. 

Sepanjang perkhidmatan, Abdul Halim pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, serta hakim Mahkamah Sesyen di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah. - Getaran, 13 Mei 2026