Saya tidak ada pengaruh untuk pengarah ambil saya berlakon, tidak malu untuk saya datang uji bakat

EntertainmentMovie
10 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya tidak ada pengaruh untuk pengarah ambil saya berlakon, tidak malu untuk saya datang uji bakat

Ada pelakon yang sampai satu tahap, tidak perlu lagi sibuk mencari kerja kerana tawaran datang sendiri kepada mereka. Berbeza pula dengan pelakon kelahiran Texas, Amerika Syarikat, Josiah Hogan ini, dia memilih untuk menghadiri sesi uji bakat setiap kali ada peluang, walaupun sudah lama berada dalam industri.

Bukan kerana dia terdesak mahu bekerja, jauh sekali menganggap dirinya tidak laku. Tetapi, Josiah atau Mohamad Musleh Hogan Abdullah, 40, dia belum berada pada tahap yang membuatkan namanya sentiasa menjadi pilihan setiap kali penerbit atau pengarah mencari pelakon.

Dia mengakui dirinya tidak mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk membuatkan orang terus teringat namanya apabila sesuatu watak ditawarkan. Jadi, kalau mahu terus bekerja, dia tahu dia juga perlu berusaha mencari ruang.

“Saya tidak boleh buat apa. Saya tidak ada pengaruh yang orang terus, ‘Oh panggil Josiah Hogan lah’. Kalau ada pun, saya rasa saya masih akan mencari juga. Sebab macam saya cakap, dia macam menggali kedai antik.

“Tapi, buat masa sekarang, saya baik sahaja. Alhamdulillah, bil saya boleh selesaikan. Isteri saya boleh saya bawa jalan-jalan,” katanya.

Penglibatannya dalam Takluk, misalnya, menjadi antara pengalaman yang mengingatkan Josiah bahawa usaha mencari kerja sendiri memang berbaloi.

Lebih menarik, filem itu turut membawanya kepada pengalaman menonton karya berkenaan bersama Yang Amat Berhormat Wan Suraya di Jabatan Audit Negara.

“Kalau saya tidak berusaha lagi, pergi uji bakat, saya mungkin tidak dapat membintangi filem Takluk dahulu. Filem itu pun baru-baru ini sampai Jabatan Audit Negara panggil saya datang untuk menonton sekali filem Takluk dengan Yang Amat Berhormat Wan Suraya.

“Kalau saya tidak cari gali, saya tidak pergi uji bakat, saya tidak akan dapat peluang-peluang macam ini,” ujarnya.

Josiah faham mengapa ada pelakon yang memilih untuk tidak lagi menghadiri sesi uji bakat. Mungkin mereka sudah mempunyai jadual kerja yang padat dan tawaran datang satu demi satu.

Tetapi Josiah tidak melihat keadaan itu sebagai sesuatu yang perlu dibandingkan. Kalau seseorang itu sudah menerima kerja secara berturut-turut, itu rezeki mereka, manakala dirinya pula perlu mengambil pendekatan yang berbeza.

“Ini pendapat masing-masing. Mungkin mereka sentiasa ada tawaran. Jadi, mereka tidak perlu datang uji bakat. Tapi macam saya, saya tidak sentiasa ada tawaran, jadi saya pun tak kisah kalau mahu pergi uji bakat,” jelasnya.

Mana tahu, katanya, projek yang dicari itu sebenarnya cerita besar atau peluang untuk bekerja dengan nama yang tidak pernah dijangka.

Dalam industri yang penuh dengan perkara di luar jangkaan, dia memilih untuk datang dahulu sebelum membuat keputusan.

“Kalau saya banyak tawaran pun, kalau orang panggil, saya lapang, saya pergi sahaja. Sebab saya tidak tahu cerita apa yang mereka mahu buat.

“Kalau kena cerita itu untuk Hollywood untuk berlakon dengan Johnny Deep, kita tidak tahu. Sebab produksi mesti akan berahsia,” katanya.

Bagi Josiah, uji bakat juga bukan bermaksud dia akan menerima sahaja apa yang ditawarkan. Sebaliknya, sesi itulah peluang untuk dia mengetahui jalan cerita, watak dan perkara yang perlu dilakukan sebelum membuat keputusan.

Dia memberi contoh sekiranya ditawarkan cerita yang mempunyai unsur LGBT, dia mahu tahu dahulu bagaimana jalan ceritanya, bagaimana sesuatu babak akan dilakukan dan sejauh mana perkara itu perlu dipaparkan. Jika tidak selari dengan pendiriannya, dia tidak teragak-agak untuk menolak.

“Contohnya kalau pasal isu LGBT. Bila saya tanya, ‘Betul ke cerita ini tentang LGBT? Babak dia macam mana? Memang mahu tunjuk secara terang-terangan ke?’ Lepas itu, bila mereka kata memang mahu buat babak eksplisit, saya terus cakap, ‘Minta maaflah, saya tak boleh terima kerja ini’. Begitu, sebagai contoh,” katanya menutup bicara.

The post Saya tidak ada pengaruh untuk pengarah ambil saya berlakon, tidak malu untuk saya datang uji bakat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved