UMNO Kedah perlu bergerak sendiri jika kerjasama hanya pada nama

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 5:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO Kedah perlu bergerak sendiri jika kerjasama hanya pada nama

KUALA LUMPUR: UMNO di Kedah perlu memilih untuk bergerak sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang sekiranya kerjasama yang mahu dibentuk dengan parti lain kelak hanya pada nama dan tidak ada keikhlasan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani, Mohamad Aswad Mohamed Amir berkata, mengambil contoh kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu masih belum benar-benar wujud sama ada pada peringkat negeri mahupun akar umbi.

Jelasnya, realiti politik di negeri itu berbeza meskipun kedua-dua gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

Katanya, hubungan antara kedua-dua pihak masih jauh pada peringkat akar umbi, manakala gerak kerja bersama hampir tidak kelihatan.

“Kalau menjelang PRU16 keadaan ini masih sama, jangan kita terlalu bergantung kepada satu kerjasama yang hakikatnya belum pernah benar-benar terbina di Kedah.

“UMNO Kedah kena bersedia berdiri atas kekuatan sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Mohamad Aswad berkata, UMNO Kedah perlu membina semula kekuatan parti, merapatkan akar umbi serta mendapatkan kembali keyakinan orang Melayu dan rakyat negeri itu.

Katanya, UMNO tidak perlu menunggu pihak lain untuk menentukan masa depannya dan tidak harus takut untuk bergerak sendiri sekiranya keadaan memerlukan.

“Bukan kerana kita bermusuh dengan sesiapa dan bukan kerana kita menolak sesiapa.

“Tetapi sebuah parti yang mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat mesti terlebih dahulu yakin dengan kekuatannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, UMNO boleh menilai sebarang kerjasama yang benar-benar ikhlas dan memberi manfaat kepada perjuangan parti.

“Bagaimanapun, sekiranya kerjasama itu hanya wujud pada nama sedangkan akar umbi masih bergerak sendiri, UMNO Kedah perlu jujur menerima realiti tersebut,” katanya.

Dalam usaha mengambil semula kuasa pentadbiran di Kedah, beliau berkata, UMNO tidak boleh hanya mempersoalkan kaedah untuk kembali berkuasa, sebaliknya perlu menjawab mengapa rakyat patut memberikan semula kepercayaan kepada parti itu.

“Jawapannya bukan kerana UMNO pernah memerintah Kedah, sejarah kita panjang atau kita rasa sudah sampai masa kita.

“Kuasa bukan hak kita. Kuasa adalah amanah rakyat. UMNO perlu memberikan sebab, idea lebih besar dan tawaran lebih baik jika mahu rakyat kembali menyokong parti ini,” katanya. – UTUSAN

The post UMNO Kedah perlu bergerak sendiri jika kerjasama hanya pada nama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved