“Saya tidak dilahirkan sebagai ‘Siti Hasmah'” – Tun Dr Hasmah Dedah Nama Sebenarnya

Entertainment
28 Oct 2024 • 10:43 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr Hasmah baru-baru ini membuat pendedahan mengenai namanya yang sebelum ini dikenali sebagai Siti Hasmah.

Menurut Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, dirinya dilahirkan dengan nama Hasmah, bukanlah ‘Siti Hasmah’ seperti yang digelarkan oleh orang ramai sebelum ini.

Jelasnya, panggilan ‘Siti’ sebenarnya adalah gelaran yang diberikan selepas beliau dan Dr Mahathir berpindah dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur ketika nama berkenaan menjadi fenomena pada waktu itu.

image is not available

“Saya perlu betulkan. Saya bukan Siti. Saya tidak dilahirkan sebagai Siti Hasmah. Saya hanya dilahirkan sebagai Hasmah. Ketika itu ada Siti Nurhaliza.

“Ada Siti itu, ada Siti ini. Jadi mereka letakkan nama Siti di hadapan nama saya. Tetapi saya bukan (Siti Hasmah), saya hanya Dr Hasmah.

“Jadi tolonglah, lain kali kalau bercakap dengan orang mengenai saya, buanglah nama Siti,” kata wanita berusia 98 tahun itu berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan Siti.

Perkara itu didedahkannya dalam satu sesi audio siar yang dimuat naik menerusi akaun Instagram milik Pusat Perubatan Prince Court yang turut menampilkan Dr Mahathir.

Tun Dr Hasmah mendedahkan perkara berkenaan ketika membetulkan pengendali podcast ‘Coffee with Ryan’ iaitu Datuk Dr. Ryan Ponnudurai yang menggelarkannya Tun Dr Siti Hasmah.

Untuk rekod, Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir sudah berkahwin selama 68 tahun dan mereka berpindah ke Alor Setar selepas mendirikan rumah tangga sebelum kembali menetap di Kuala Lumpur.

Sekadar info, Dr Hasmah adalah wanita Malaysia pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak serta wanita Malaysia pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak negeri.

Jadinya, panggilan rasmi lepas ni kena tulis ‘Tun Dr Hasmah’.

Sumber: Instagram

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.