
PAITAN: Penyandang Ahli Parlimen P.183 Beluran yang juga calon parti Perikatan Nasional, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Katanya, selaku wakil rakyat yang diberikan mandat, amat penting amanah itu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Malah, sejak memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) selama dua tahun, kita juga tidak pernah melupakan Beluran dengan penyaluran bantuan nelayan dan juga penyediaan pasar tamu yang lebih selesa kepada penjaja dan pengguna,” jelasnya.
Selain itu, katanya, kita juga yakin rakyat bijak menepis apa sahaja fitnah terhadap saya selaku calon di sini kerana mereka peka dengan perkembangan politik semasa.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan mesra sempena kempen Pilihanraya Raya Ke-15 (PRU15) di Kampung Dalamas di sini, Isnin lepas.
Turut hadir ialah Penasihat Pusat Daerah Mengundi Kampung Dalamas, Undang Jalang.
Sementara itu, Ronald berkata kempen beliau setakat ini berjalan lancar.
“Rakyat Beluran juga peka dalam memilih calon mereka dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
“Kita sangat hormati proses demokrasi yang menjadi amalan selama ini dan juga dengan undang-undang yang ada.
“Ini sekaligus bertentangan dengan taktik dan ugutan sesetengah pihak yang memfitnah kita,” jelasnya.
Berkenaan terdapat poster dan bahan kempen beliau yang dirosakkan dan diganggu, katanya, jentera parti sudah mengambil maklum hal berkenaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

