Sayu hati Cik Man sudah tiada, impian Rock 5 bersamanya tidak kesampaian – Amen Khalid

EntertainmentMovie
5 Aug 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sayu hati Cik Man sudah tiada, impian Rock 5 bersamanya tidak kesampaian – Amen Khalid

KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Amen Khalid mengakui masih sukar menerima hakikat pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man yang disifatkannya sebagai seorang seniman sejati dan insan yang cukup istimewa dalam hidupnya.

Amen, yang juga anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, berkata dia mengenali arwah sejak berusia lima tahun selain menganggap Cik Man seperti seorang bapa sendiri.

“Saya memang rasa sayu dan sedih. Saya kenal arwah sejak umur saya lima tahun lagi. Saya anggap dia macam ayah juga, tetapi sekarang dia sudah tiada.

“Arwah seorang yang sangat supportive dan saya memang akan rindukan keletah dia sebab memang tak ada orang macam arwah. Dia memang the one and only. Watak dan personaliti dia membuatkan orang suka dan sayang.

“Dengan arwah papa pun kami selalu bergurau dan mengajuk gaya Cik Man apabila berbual. Itu menunjukkan betapa dekat dan istimewanya arwah dalam kehidupan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia petang tadi.

Menurut Amen, berita pemergian Cik Man benar-benar mengejutkan sehingga dia mengambil masa untuk menerima kehilangan tersebut.

“Saya memang terkejut apabila mendapat berita arwah meninggal dunia. Dari awal pembikinan filem Rock lagi saya sudah kenal arwah. Dari kaca mata saya, dia memang tak pernah sombong, sentiasa tersenyum, suka bergurau dan seorang yang happy-go-lucky.

“Bila dapat tahu dia sudah tiada, saya benar-benar tersentap. Lama juga saya termenung sebab saya sangat hormat arwah sebagai seorang seniman.

“Bagi saya, kalau ada apa-apa karakter yang sesuai, memang wajah Cik Man yang akan terlintas dahulu dalam kepala saya,” ujarnya.

Selain itu, Amen berkata, kenangan terakhir mereka bersama adalah ketika penggambaran filem Hantu Lompat di Kampung Pisang yang kini masih berada pada peringkat akhir pascaproduksi.

“Sampai kali terakhir saya bekerja dengan arwah adalah menerusi filem Hantu Lompat di Kampung Pisang. Filem itu masih belum ditayangkan lagi kerana sekarang sedang melalui proses akhir CGI. Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, ia akan ditayangkan sama ada hujung tahun ini atau tahun depan.

“Itulah momen terakhir saya dengan arwah. Apa yang paling menyedihkan, arwah sendiri tidak sempat menonton filem tersebut,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Amen mendedahkan dia sebenarnya sedang merancang untuk merealisasikan filem Rock 5 sejak tahun lalu, namun hasrat untuk sekali lagi menampilkan Cik Man tidak kesampaian.

“Saya dengan Hasnul Rahmat memang sedang merancang untuk buat filem Rock 5. Perancangan itu sudah bermula sejak tahun lepas lagi dan sekarang kami sedang membangunkan jalan ceritanya.

“Itulah yang paling membuatkan saya sayu sebab saya memang nak masukkan Cik Man dalam filem itu. Tetapi nampaknya hasrat tersebut tidak kesampaian. Bagi saya, memang sudah tidak ada pengganti arwah. Dia benar-benar seorang seniman sejati,” katanya.

Terdahulu, Cik Man, 67, dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang tadi.

Anak keduanya, Fakhrol Aliff mengesahkan perkara tersebut selepas diberitakan arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Semalam, Cik Man ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) susulan masalah saluran jantung tersumbat.

Cik Man sebelum ini melakukan kemunculan sulung membawakan watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja.

Panggilan Farouk yang dahulunya sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kini sudah bertukar kepada Cik Man, nama wataknya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid.

The post Sayu hati Cik Man sudah tiada, impian Rock 5 bersamanya tidak kesampaian – Amen Khalid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved