Sayur terbantut musim jerebu

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 8:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sayur terbantut musim jerebu

PETALING JAYA – Pengusaha tanaman sayuran di negara ini bimbang situasi jerebu yang berlarutan lebih dua bulan boleh menjejaskan pertumbuhan serta produktiviti hasil pertanian se­perti sayur-sayuran.

Presiden Persatuan Penanam Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, tanaman sayuran dihasilkan petani berisiko me­ngalami pertumbuhan terbantut jika cahaya matahari diterima tidak mencukupi untuk tempoh yang panjang.

Image from: Sayur terbantut musim jerebu
SER KWEE

Menurutnya, ini seterusnya akan menjejaskan saiz, perkembangan daun dan hasil pengeluaran, namun kerosakan sebenar perlu dinilai berdasarkan kea­daan di kawasan penanaman masing-masing.

“Jika pertumbuhan tanaman menjadi perlahan atau hasil pengeluaran menurun, tempoh penanaman mungkin menjadi lebih panjang dan meningkatkan kos operasi petani.

“Sekiranya kualiti hasil turut terjejas, pendapatan petani juga berisiko menurun, sedangkan kos baja, tenaga kerja, air dan pengangkutan masih perlu ditanggung,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

Beliau turut bimbang terhadap kesegaran dan kualiti tanaman sekiranya pencemaran udara bertambah buruk, selain khuatir dengan tempoh jerebu berlarutan lebih lama.

“Jerebu mengurangkan jumlah cahaya matahari yang sampai kepada tanaman dan kemudian, mengurangkan proses fotosintesis tumbuhan tersebut.

“Ini boleh menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih perlahan terutamanya bagi tanaman yang memerlukan cahaya matahari mencukupi.

“Selain itu, sesetengah tanaman mungkin mengalami pertumbuhan kurang baik dan kualiti hasil juga menurun. Bagaimanapun, kita tidak boleh kata semua sayur terjejas dengan tahap sama,” katanya.

Ujarnya, pengusaha dan petani perlu memantau keadaan tanaman dengan memastikan pengairan mencukupi, melakukan pemeriksaan daun serta pertumbuhan tanaman secara berkala.

Mengulas lanjut, Ser Kwee meminta pihak berkuasa untuk terus memantau tahap pencemaran udara dan memberikan nasihat dan panduan sesuai kepada petani sekiranya keadaan jerebu berlarutan.

“Bagi pihak persatuan, kami berharap isu jerebu ini diberi perhatian kerana sektor sayur-sayuran merupakan sebahagian penting daripada bekalan makanan negara.

“Jika keadaan ini berpanja­ngan, ia boleh menambah tekanan kepada petani tempatan yang berdepan dengan kos pengeluaran tinggi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Sayur terbantut musim jerebu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved