Jerebu berlarutan: Tanaman sayur berisiko terbantut, kos petani meningkat

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu berlarutan: Tanaman sayur berisiko terbantut, kos petani meningkat

SHAH ALAM, 19 OKT: Jerebu yang berlarutan lebih dua bulan berisiko menjejaskan pertumbuhan dan produktiviti tanaman sayur-sayuran, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran serta mengurangkan pendapatan petani.

Presiden Persatuan Penanam Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee berkata kekurangan cahaya matahari dalam tempoh panjang boleh menyebabkan pertumbuhan tanaman terbantut, selain menjejaskan saiz, perkembangan daun dan hasil pengeluaran.

Bagaimanapun, katanya, tahap kerosakan perlu dinilai berdasarkan keadaan di kawasan penanaman masing-masing kerana kesan jerebu tidak semestinya sama bagi semua jenis sayuran.

Image from: Jerebu berlarutan: Tanaman sayur berisiko terbantut, kos petani meningkat
Presiden Persatuan Penanam Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee. Foto Facebook Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia

“Jika pertumbuhan tanaman menjadi perlahan atau hasil pengeluaran menurun, tempoh penanaman mungkin menjadi lebih panjang dan meningkatkan kos operasi petani.

“Sekiranya kualiti hasil turut terjejas, pendapatan petani juga berisiko menurun, sedangkan kos baja, tenaga kerja, air dan pengangkutan masih perlu ditanggung,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Menurutnya, jerebu mengurangkan jumlah cahaya matahari yang sampai kepada tanaman, sekali gus memperlahankan proses fotosintesis yang penting untuk pertumbuhan tumbuhan.

“Ini boleh menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih perlahan terutamanya bagi tanaman yang memerlukan cahaya matahari mencukupi.

“Selain itu, sesetengah tanaman mungkin mengalami pertumbuhan kurang baik dan kualiti hasil juga menurun. Bagaimanapun, kita tidak boleh kata semua sayur terjejas dengan tahap sama,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kesegaran dan kualiti tanaman sekiranya pencemaran udara bertambah buruk, terutama jika keadaan jerebu berlarutan lebih lama.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha dan petani supaya memantau keadaan tanaman secara berkala, termasuk memastikan pengairan mencukupi serta memeriksa keadaan daun dan pertumbuhan tanaman.

Lim turut meminta pihak berkuasa meneruskan pemantauan tahap pencemaran udara dan memberikan nasihat serta panduan yang sesuai kepada petani sekiranya jerebu berlarutan.

“Bagi pihak persatuan, kami berharap isu jerebu ini diberi perhatian kerana sektor sayur-sayuran merupakan sebahagian penting daripada bekalan makanan negara.

“Jika keadaan ini berpanjangan, ia boleh menambah tekanan kepada petani tempatan yang berdepan dengan kos pengeluaran tinggi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved