SC Estate Builder raih pendapatan RM11.2 juta bagi 1QFY27, naik 40% didorong segmen perdagangan bahan binaan

LocalBusiness & Finance
30 Jun 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SC Estate Builder raih pendapatan RM11.2 juta bagi 1QFY27, naik 40% didorong segmen perdagangan bahan binaan Image from: SC Estate Builder raih pendapatan RM11.2 juta bagi 1QFY27, naik 40% didorong segmen perdagangan bahan binaan amree30/06/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 JunSC Estate Builder Berhad memulakan tahun kewangan 2027 dengan lonjakan pendapatan kira-kira 40% kepada RM11.204 juta bagi suku pertama yang berakhir 30 April 2026.

 

Katanya, prestasi positif ini didorong terutamanya oleh peningkatan jualan dalam segmen perdagangan bahan binaan yang menyumbang sebanyak RM11.001 juta kepada hasil keseluruhan kumpulan berkenaan.

 

Walaupun hasil meningkat, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM779,000, iaitu susut sedikit berbanding RM795,000 yang pernah direkodkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat ini juga menyusut sebanyak 23% kepada RM779,000 berbanding RM1.007 juta dilaporkan sebelum ini," jelas SC Estate Builder dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


 
Penurunan ini berpunca daripada kemerosotan secara ketara dalam segmen pembinaan dan perkhidmatan pembinaan yang mencatatkan kejatuhan keputusan segmen sebanyak 99% kepada hanya RM19,000.

 

SC Estate Builder_DagangNews2026

 

Sementara itu, dari segi kedudukan aset pula, kumpulan berkenaan melaporkan setakat 30 April 2026, nilai aset bersih keseluruhan syarikat itu berjumlah RM49.55 juta, bersamaan dengan RM0.01 sesaham.

 

SC Estate Builder kekal optimis meningkatkan prestasi masa hadapan melalui pengukuhan buku tempahan dan kepelbagaian perniagaan, antaranya dengan memegang jumlah pesanan terkumpul yang signifikan.

 

"Ini termasuk projek solar berskala besar (LSS) 4MW di Arau, Perlis, dan perjanjian usaha sama (JV) pembangunan tanah di Kubang Pasu, Kedah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM663 juta," katanya.

 

Di bawah pelan perniagaan 2020-2030, syarikat komited membina kira-kira 5,000 unit rumah mampu milik yang dilengkapi panel solar, selain menyasarkan pemasangan loji solar sehingga 5,000MW.

 

Langkah berkenaan jelas SC Estate Builder sejajar dengan inisiatif tenaga hijau kumpulan itu untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved