SC minta maklum balas awam cadangan Rangka Kerja Tokenisasi Produk Pasaran Modal

Business & FinanceDigital
6 May 2025 • 12:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SC minta maklum balas awam cadangan Rangka Kerja Tokenisasi Produk Pasaran Modal

image is not available

06/05/2025 - 12:57

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Mei – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap cadangan rangka kerja kawal selia produk pasaran modal yang ditokenkan.

Produk berkenaan berbentuk digital merujuk kepada representasi digital produk pasaran modal menggunakan teknologi lejar teragih (DLT) seperti saham token, bon token dan dana token.

SC menegaskan produk pasaran modal tokenisasi perlu dibezakan daripada token digital dan mata wang kripto kerana ia tertakluk kepada rangka kerja peraturan berbeza.

Cadangan itu dibuat susulan peningkatan minat dalam kalangan peserta industri untuk menawarkan produk bertoken dan menjalankan aktiviti berkaitan secara sah di bawah pengawasan SC.

Suruhanjaya itu berkata, rangka kerja dicadangkan bertujuan menggalakkan penggunaan lebih meluas teknologi DLT dalam pasaran modal, termasuk aset boleh diprogram, pemilikan pecahan, serta ketelusan dan kecekapan lebih baik dalam penyimpanan rekod, dan memastikan perlindungan pelabur terus terjaga.

"Walaupun produk ini menggunakan DLT, ia tetap tertakluk kepada peraturan sedia ada seperti produk pasaran modal konvensional.

"Oleh itu, rangka kerja ini perlu dibaca bersama undang-undang dan garis panduan semasa untuk memastikan konsistensi dalam kawal selia," katanya dalam satu kenyataan.

SC mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk bakal pengeluar, pengantara berlesen, penyedia perkhidmatan teknologi, pelabur institusi, profesional perundangan dan pematuhan, dan persatuan industri untuk memastikan proses perundingan yang membina.

Selain memberikan maklum balas mengenai kertas perundingan, SC juga menggalakkan peserta pasaran modal yang berminat untuk menawarkan dan/atau berurusan dalam produk token untuk berunding dan membincangkan rancangan mereka dengan SC.

Tempoh perundingan awam itu adalah antara 6 Mei hingga 16 Jun 2025.- DagangNews.com

standard