SC umum pelantikan barisan Majlis Penasihat Syariah baharu penggal 1 Julai-30 Jun 2026
zulfadli
13/07/2023 - 15:45
KUALA LUMPUR 13 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan barisan Majlis Penasihat Syariah (MPS) baharunya untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2026.
Barisan baharu terdiri daripada pelantikan semula, Prof Dr Aznan Hasan dan Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Timbalan Presiden Penyelidikan dan Pengarah Eksekutif Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA Universiti INCEIF, Prof Dr Ashraf Md Hashim.
Selain itu, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam Universiti INCEIF, Prof Madya Dr Mohamed Fairooz Abdul Khir.
Seramai empat pelantikan baharu dalam MPS SC, antaranya, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Pengarah Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA Universiti INCEIF, Dr Marjan Muhammad; Penolong Profesor Abdulhamid Abusulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan UIAM, Dr Akhtarzaite Abdul Aziz dan bekas penyelidik Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam, Burhanuddin Lukman.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran modal Islam sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam industri, di samping menyokong dan memudahkan usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang ini.
"Di SC, kami terus menyepadukan inovasi dan kemampanan ke dalam pengetahuan dan amalan syariah untuk mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab kepimpinan pemikiran ICM global yang terkemuka.
"Terima kasih diucapkan kepada ahli terdahulu atas dedikasi mereka dalam memajukan pembangunan ICM Malaysia. Diharapkan barisan ahli baharu untuk penggal ini akan terus memajukan aspirasi kewangan Islam," katanya dalam kenyataan media di sini.

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa yang menentukan penggunaan prinsip syariah dalam urus niaga pasaran modal Islam (ICM).
MPS terdiri daripada cendekiawan syariah terkemuka, ahli akademik dan pengamal pasaran yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang syariah, pasaran modal, kewangan dan undang-undang. - DagangNews.com

