Scammer makin berani, ugut nyawa anak dalam bahaya jika tidak patuh arahan

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa mula dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat polis dan pihak pendakwaraya pada 23 November tahun lalu. Gambar hiasan - Gambar kecil (Azli)

 

​KUALA TERENGGANU – Taktik licik sindiket phone scam menggunakan helah ugutan nyawa terhadap ahli keluarga menyebabkan seorang pesara guru berputih mata selepas mengalami kerugian RM165,900, Mac lalu

Mangsa wanita berusia 64 tahun bukan sahaja dituduh terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram, malah diancam keselamatan anak-anaknya dalam bahaya.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa mula dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat polis dan pihak pendakwaraya pada 23 November tahun lalu.

​"Suspek menggunakan taktik kotor dengan mendakwa anak-anak mangsa akan menerima padah sekiranya dia gagal mengikut setiap arahan yang diberikan.

"Disebabkan terlalu takut dengan ancaman keselamatan terhadap anaknya, mangsa terpedaya lalu mengikut arahan suspek untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM150,000 daripada sebuah bank," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

​Menurut Azli, setelah pinjaman tersebut diluluskan, wang berjumlah RM130,000 dimasukkan ke dalam akaun bank milik mangsa sebelum sindiket mula memindahkan baki simpanan tersebut.

"Siasatan mendapati mangsa juga telah melakukan tiga kali transaksi deposit tunai berjumlah RM36,000 ke akaun berbeza kononnya sebagai jaminan untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mendapati wang berjumlah RM129,900 dalam akaunnya telah dipindahkan ke pihak ketiga tanpa kebenaran secara berperingkat antara 30 Disember 2025 sehingga 15 Mac lalu," jelas beliau.

Katanya, ​siasatan awal polis mendapati sindiket dipercayai telah mengakses perbankan internet mangsa tanpa pengetahuan wanita berkenaan untuk melakukan transaksi pemindahan wang tersebut.

"Mangsa tampil membuat laporan polis pada Ahad lalu selepas menyedari semua simpanan dan wang pinjamannya lesap dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah panik dengan ugutan melibatkan ahli keluarga dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa.

 

 

 

 

-ENDS-