amree14/05/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Mei – Scope Industries Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih mencecah sebanyak RM29.99 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 31 Mac 2026 (9MFY26).
Menurutnya, peningkatan secara mendadak prestasi kewangan kumpulan tersebut berbanding kerugian bersih RM455,000 bagi tempoh yang sama tahun lalu, didorong pelupusan sebuah anak syarikatnya.
Langkah yang melibatkan penutupan segmen perniagaan pembuatan itu menjana keuntungan luar biasa sebanyak RM33.18 juta dengan proses pelupusan tersebut berjaya diselesaikan pada 1 Ogos 2025.
"Strategi ini merupakan sebahagian daripada transformasi kumpulan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada sektor perladangan yang lebih mampan," kata Scope dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi suku ketiga (3Q26) sahaja, kumpulan berkenaan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.32 juta, pulih daripada kerugian bersih mencecah RM1.0 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil daripada segmen perladangan meningkat kepada RM2.95 juta pada suku ini berbanding RM2.29 juta pada 3Q25, yang didorong oleh pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi.
Sehubungan itu tambah Scope, pendapatan sesaham (EPS) bagi tempoh sembilan bulan berkenaan meningkat kepada 2.52 sen, berbanding kerugian sesaham 0.07 sen yang dicatatkan sebelum ini.
"Syarikat kini memiliki kedudukan tunai dan setara tunai yang kukuh berjumlah RM104.21 juta, sebahagian besarnya hasil daripada penerimaan baki dana pelupusan perniagaan pembuatan," katanya.
Melangkah ke hadapan, pengurusan syarikat berkenaan menyatakan yang mereka akan terus memantau rapat pengeluaran FFB dan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan hasil daripada ladang.
Pada masa sama, Scope turut menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan dapat kekal stabil di paras sekitar RM4,400 hingga RM4,600 setiap tan metrik bagi tempoh separuh pertama tahun ini.
Sementara itu, daripada jumlah hasil pelupusan perniagaan pembuatan sebanyak RM93.61 juta, kumpulan akan menggunakan RM23.1 juta untuk agihan dividen interim khas kepada pemegang saham.
Dalam pada itu jelasnya, sejumlah RM50 juta lagi akan diperuntukkan untuk aktiviti pembangunan perniagaan perladangan sepanjang tempoh 36 bulan berikutnya. - DagangNews.com





