Duopharma catat keuntungan bersih RM30.7 juta bagi 1QFY26, hasil susut 5.7% kepada RM247.8 juta

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Duopharma catat keuntungan bersih RM30.7 juta bagi 1QFY26, hasil susut 5.7% kepada RM247.8 juta Image from: Duopharma catat keuntungan bersih RM30.7 juta bagi 1QFY26, hasil susut 5.7% kepada RM247.8 juta amree14/05/2026 - 14:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 MeiDuopharma Biotech Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 19.8% bagi tempoh selama tiga bulan pertama yang berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26).


Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, prestasi berkenaan didorong terutamanya oleh faktor peningkatan tahap kecekapan operasi, dan campuran produk baharu syarikat.


Selain itu, pengukuhan mata wang tempatan membantu kumpulan dalam mengurangkan tekanan kos input bagi bahan farmaseutikal aktif (API) dan turut menyokong usaha penambahbaikan margin.


"Bagaimanapun Duopharma mencatatkan penurunan pendapatan kira-kira 5.7% kepada RM247.88 juta berbanding sebanyak RM262.74 juta dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas," jelasnya.


Kejatuhan hasil ini disebabkan oleh permintaan sektor awam bagi produk insulin yang kembali ke tahap normal selepas pertumbuhan besar pada tempoh suku pertama tahun lalu (1QFY25).


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, komitmen strategik kerajaan terhadap penjagaan kesihatan dan keselamatan bekalan ubat memberikan isyarat baik


"Kami menjangka persekitaran operasi positif kerana penekanan khusus perluasan keupayaan pembuatan farmaseutikal tempatan, seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)," katanya.


Beliau menambah, sebagai pengeluar, Duopharma memanfaatkan peluang tersebut, serta memperkukuh rantaian bekalan melalui pengurusan inventori strategik dan kepelbagaian sumber API.


Jelas Wan Amir-Jeffrey, syarikat baru-baru ini meraih dua kontrak melalui anak syarikatnya untuk membekalkan suntikan insulin kepada fasiliti kerajaan bagi tempoh dua tahun sehingga 2028.


Bagi suku pertama 2026 juga, dividen interim kedua dibayar sebanyak 3.05 sen sesaham berbanding 2.0 sen pada 1QFY25, berjumlah RM29.33 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


"Walaupun optimis dengan perolehan kontrak baharu, Duopharma tetap berwaspada terhadap ketegangan di Timur Tengah yang boleh mempengaruhi harga tenaga global dan kos API," kata beliau.


Syarikat berkenaan akan terus fokus kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman kos untuk memastikan prestasi yang memuaskan bagi baki tahun kewangan 2026. - DagangNews.com

Terkini standard