
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) dan Sime Darby Property Berhad (SDP) hari ini (20 Jun) menandatangani perjanjian usaha sama untuk membangunkan kawasan seluas hingga 2,000 ekar di Pulau Carey, Selangor, dalam usaha menyokong pertumbuhan inovasi dan ekonomi mampan di pulau tersebut.
Perjanjian usaha sama tersebut dimeterai berikutan kesepakatan yang dicapai oleh kedua- dua syarikat melalui siri perbincangan yang bermula sejak 2023 untuk memacu penciptaan nilai jangka panjang di Pulau Carey.
Melalui penubuhan sebuah syarikat tujuan khas (SPV), kedua-dua syarikat berhasrat merealisasikan potensi Pulau Carey sepenuhnya sebagai hab industri dan logistik terkemuka yang dibangunkan seiring perniagaan kelapa sawit bersepadu yang telah lama bertapak di pulau tersebut.
Pembangunan tersebut sekaligus akan melengkapi operasi Westport dan Northport yang sedia ada di Pelabuhan Klang.
Kedua-dua SD Guthrie dan SDP merupakan syarikat pelaburan strategik di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), iaitu salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia. PNB akan menamakan Pengerusi bagi SPV baru tersebut.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Abdul Rahman Ahmad berkata, “PNB menyambut baik dan menyokong kerjasama strategik antara SD Guthrie dan Sime Darby Property yang sejajar dengan aspirasi nasional dan inisiatif GEAR-uP* oleh Kerajaan untuk merangsang pelaburan domestik.
“Usaha sama antara kedua-dua syarikat strategik PNB ini akan memberi lonjakan kepada pembangunan mampan di kawasan berpotensi tinggi ini, serta membantu mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dan perindustrian Malaysia.”
Kawasan seluas 2,000 ekar di Pulau Carey menyediakan skala yang diperlukan untuk membangunkan kemudahan logistik bertaraf dunia, rantaian bekalan bersepadu, dan industri bernilai tinggi yang mampu menarik pelabur global.
Pelabuhan di Pulau Carey juga dijangka mampu bersaing dengan pelabuhan serantau di Singapura, Thailand dan Vietnam, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat logistik serantau terkemuka.
Pada hari ini, Pulau Carey dikenali sebagai satu-satunya lokasi perladangan sawit bersepadu penuh di Lembah Klang. Bagi industri perladangan negara, ia merupakan lokasi penting yang sering menjadi tuan rumah kepada pelbagai delegasi kerajaan luar negara, kedutaan, serta institusi R&D dan universiti dari seluruh dunia.
Di pulau tersebut, SD Guthrie mengendalikan dua ladang dan kilang minyak sawit yang diperakui piawaian kelestarian tertinggi dunia. Di Pulau Carey juga terdapat loji penghancur isirung sawit, loji biodiesel, pusat penyelidikan dan pembangunan, pusat robotik dan inovasi, serta tapak semaian benih sawit.
Minyak sawit yang dihasilkan di Pulau Carey diproses di dua kilang penapisan besar di Langat dan Pelabuhan Klang, yang membekalkan produk kepada para pelanggan antarabangsa. Di samping itu, di
Pulau Carey terdapat 14 bangunan bersejarah yang diiktiraf sebagai tapak warisan oleh Jabatan Warisan Negara, serta taman biodiversiti dan ekosistem bakau sensitif yang dipelihara oleh SD Guthrie.
Gabungan pembangunan baharu serta perniagaan perladangan sedia ada di pulau tersebut, dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasa ekonomi setempat, malah akan turut mengekalkan elemen warisan yang bernilai.
Pendekatan strategik kedua-dua syarikat untuk memacu nilai mampan di Pulau Carey akan memastikan keperluan dan kesejahteraan komuniti tempatan diberi keutamaan, termasuklah masyarakat orang asli Mah Meri yang merupakan penduduk asal pulau tersebut.
Usaha sama kedua-dua syarikat juga akan dilaksanakan sejajar sasaran Kerangka Ekonomi MADANI untuk mengangkat Malaysia ke dalam kelompok 30 ekonomi terbaik dunia melalui peningkatan kerumitan ekonomi.
Integrasi inisiatif kedua-dua syarikat dengan kerangka nasional akan menyumbang secara signifikan ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, sekaligus memperkukuhkan daya tahan ekonomi dan daya saing global negara.
“Kami menyokong penuh aspirasi Kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan perdagangan antarabangsa serta memenuhi permintaan terhadap kemudahan industri yang inovatif. Pulau Carey telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai tapak baharu untuk pelabuhan bertaraf dunia kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Pelabuhan Klang dan Pulau Indah.
“Selain itu, pulau ini mempunyai aksesibiliti dengan bandar-bandar berdekatan melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang turut bersambung dengan Lebuhraya Utara- Selatan. Infrastruktur ini menawarkan potensi besar untuk kawasan ini membangun sebagai hab industri dan logistik, sambil perniagaan perladangan sedia ada di pulau ini dapat terus berkembang,” kata Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Sekitar 28,646 ekar atau 79% kawasan di Pulau Carey dimiliki oleh SD Guthrie. Ladang- ladang syarikat tersebut di pulau tersebut diurus secara mampan bagi memastikan pemeliharaan alam sekitar. Pada tahun 2024, SD Guthrie telah mengumumkan hasrat untuk membangunkan dua bidang perniagaan baharu: taman industri dan tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Dato’ Seri Azmir Merican berkata, “Kami teruja untuk bekerjasama dengan SD Guthrie untuk merealisasikan potensi Pulau Carey sebagai pelabuhan dinamik, dan memacu aspirasi negara untuk menjadi hab logistik dan ekonomi serantau.
“Kerjasama ini membolehkan kami memulakan perancangan induk dan reka bentuk ekosistem industri masa depan yang akan memenuhi keperluan perniagaan dan komuniti untuk jangka masa panjang, selari dengan matlamat kami sebagai Pengganda Nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet.”
Dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam pembangunan hartanah, SDP mempunyai pengalaman dan reputasi yang ternama dalam pembangunan taman industri bertaraf antarabangsa di sembilan kawasan perbandaran, meliputi lebih 6,000 ekar di pelbagai koridor ekonomi.
Ini termasuklah E-Metro Logistics Park di Bandar Bukit Raja, Klang dan Elmina Business Park di City of Elmina yang telah menarik pelaburan pelbagai syarikat global seperti Google.
Pelbagai lagi projek pembangunan utama syarikat tersebut, termasuklah Serenia Business Park di Serenia City, Bandar Universiti Pagoh Industrial Park di Johor, serta projek di Negeri Sembilan seperti XME Business Park dan Vision Business Park yang baru dilancarkan.
Ini memperlihatkan kebolehan SDP dalam menyediakan penyelesaian industri bersepadu yang memenuhi keperluan masa depan dan permintaan pelabur, serta menyokong matlamat pembangunan negara.
Usaha sama kedua-dua syarikat ini dijangka akan memacu pertumbuhan jangka panjang dan mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan. Makluman lanjut berhubung usaha sama SD Guthrie dan SDP akan dimaklumkan jika terdapat sebarang perkembangan penting.


