SD Guthrie tegaskan tiada bukti kaitkan ladangnya di Indonesia cetus kebakaran hutan

LocalEnvironment
20 Oct 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie tegaskan tiada bukti kaitkan ladangnya di Indonesia cetus kebakaran hutan Image from: SD Guthrie tegaskan tiada bukti kaitkan ladangnya di Indonesia cetus kebakaran hutan amree20/10/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt — SD Guthrie Berhad menyangkal dakwaan yang mengaitkan anak syarikat atau pekerjanya dengan kebakaran hutan di Indonesia, sambil menegaskan pemeriksaan di lapangan tidak menemukan bukti bahawa pihaknya mencetuskan insiden berkenaan.

 

Dalam kenyataan media, kumpulan perladangan tersebut berkata, pemeriksaan terkini turut mengesahkan tiada kebakaran aktif yang dikesan berlaku di mana-mana ladangnya di negara jiran berkenaan sehingga mengakibatkan kejadian jerebu sejak beberapa bulan lalu.

 

Menurut SD Guthrie, dakwaan yang tersebar luas menerusi laporan awam di negara tersebut juga tidak disokong dengan apa-apa bukti kukuh dan boleh dipercayai, sekali gus tidak mencerminkan hasil penilaian sebenar di peringkat lapangan sendiri.

 

"Beberapa syarikat yang disebut dalam laporan awam sebagai kononnya ada kaitan dengan Guthrie sebenarnya tidak dimiliki, diurus atau dikawal oleh kumpulan ini. Sebarang maklumat pemilikan yang lapuk atau tidak tepat, perlu diperbetulkan segera," jelasnya.

 

Selain itu, SD Guthrie melaksanakan pemantauan paras air secara masa nyata, pemantauan aras air tanah di kawasan gambut serta langkah mengekalkan kelembapan tanah pada tahap sesuai bagi mencegah kebakaran merebak di kawasan ladang yang diusahakannya.

 

Langkah berkenaan ujarnya, turut merangkumi program pencegahan kebakaran bersama komuniti setempat dan latihan pengurusan tanah secara bertanggungjawab untuk pekebun kecil serta petani tempatan.

 

SD Guthrie_DagangNews2026

 

Pada masa sama, SD Guthrie berkata, pasukannya sendiri akan bertindak dengan segera apabila kebakaran dikesan di dalam atau berhampiran kawasan operasinya, tanpa mengira punca kejadian.

 

Anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation, mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran yang terdiri 1,005 anggota terlatih. Keupayaan mereka disokong pemantauan dron dan teknologi inframerah di kawasan konsesi perladangan serta 322,000 hektar tanah komuniti di sekitarnya.

 

"Bagi tempoh Januari hingga September 2026, pasukan berkenaan sudah pun bertindak memadamkan kira-kira 2,411 kes kebakaran, dengan sebanyak 2,376 daripadanya berlaku di tanah komuniti," katanya.

 

Menurut kumpulan itu, tindakan memadamkan kebakaran di luar kawasan konsesi tidak seharusnya dianggap sebagai bukti pihaknya menjadi punca kebakaran. SD Guthrie menganggarkan perbelanjaan sekitar 3.5 bilion rupiah (RM800,000) sebulan bagi menyelenggara dan menggerakkan sumber pencegahan serta pemadaman kebakaran.

 

Kumpulan berkenaan, melalui anak-anak syarikat di Indonesia, terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk di luar kawasan konsesinya.

 

Ia juga menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan bagi mencegah kebakaran serta melindungi komuniti dan alam sekitar. SD Guthrie turut menggesa supaya sebarang dakwaan disokong bukti yang boleh dipercayai dan maklumat pemilikan yang tidak tepat diperbetulkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved