
PETALING JAYA: Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) melakar detik bersejarah apabila muncul johan Anugerah Emas di Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Ke-24, baru-baru ini.
SDAR dalam kenyataan berkata, festival tersebut bukan sekadar medan bagi penggemar muzik, sebaliknya menjadi medium dalam menguji disiplin, ketepatan, kreativiti dan kerja berpasukan.
Katanya, kejayaan ini diraih menerusi persembahan SDAR yang cemerlang, bertenaga dan berkualiti tinggi, memperlihatkan tahap disiplin, ketepatan, kreativiti serta kesepaduan luar biasa antara setiap anggota pasukan.
“Kejayaan SDAR ini membuktikan bahawa kecemerlangan murid SBP tidak hanya terserlah di bilik darjah, malah turut bergema di pentas seni dan muzik, melalui bakat, kesungguhan dan semangat berpasukan yang tinggi.” katanya.
Festival selama tiga hari bermula 11 Ogos hingga 13 Ogos itu melibatkan 18 pasukan Wind Orchestra dari seluruh negara dan berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Naib johan dimenangi oleh SM Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu, ketiga: Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya, keempat: SM Sains Selangor (SMSS) Kuala Lumpur dan kelima: SM Sains Kuching (SAINSKU), Sarawak.
SDAR Symphonic Band (SSB) menghimpunkan pemuzik muda dalam instrumen woodwind, brass dan percussion. SSB menjadi platform untuk membangunkan kecemerlangan muzik di samping membentuk disiplin, kepemimpinan, keyakinan dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar sekolah
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengetua Cemerlang Sekolah Sultan Alam Shah, Nor Azam Abdullah merangkap pengelola Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan Ke-24, dan Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Husalshah Rizal Hussian. – UTUSAN
The post SDAR juara Anugerah Emas Festival Wind Orchestra SBP Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.






