Sebabkan Kematian 3 Pelajar UiTM Dungun, Pemandu Wanita Layak Dibicarakan & Akan Didakwa

Entertainment
14 Jan 2025 • 3:13 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ada yang masih ingat kes kemalangan yang melibatkan tiga orang penuntut UiTM Dungun, Terengganu yang meninggal dunia selepas didakwa dilanggar seorang wanita pada tahun lalu?

Pada 15 Oktober tahun lalu, Norizan Ismail, 50, telah didakwa menyebabkan kematian tiga orang pelajar iaitu Muhammad Akmal Md Tukirim, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

image is not available

Susulan itu, mahkamah telah memutuskan wanita ini dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri.

Layak untuk dibicarakan

Hari ini, kes itu mempunyai perkembangan terbaru apabila Mahkamah Majistret Dungun memutuskan pemandu wanita yang dituduh membunuh tiga pelajar berkenaan boleh dibicarakan.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman membuat keputusan itu dan menetapkan 20 Februari ini sebagai tarikh pendakwaan semula terhadap tertuduh, Norizan Ismail.

Keputusan ini juga dibuat selepas mahkamah menerima permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman pada prosiding sebutan untuk laporan psikiatri tertuduh.

image is not available

Nur Azhani memberitahu mahkamah bahawa tertuduh layak dibicarakan berdasarkan laporan psikiatri yang diterima daripada Hospital Permai Johor.

Beliau juga kemudian memohon satu tarikh bagi mendakwa tertuduh dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Ketika prosiding berlangsung, tertuduh yang diwakili peguam, Norhabibah Norulazhar kelihatan bingung serta tidak mengingati nombor kad pengenalannya sendiri ketika ditanya jurubahasa.

Tertuduh berdepan dengan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika disabitkan bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.