Sebak, Ibu Bapa Syukur Lihat Anak Perempuan Tamatkan Pengajian

LocalFamily & Parenting
12 Nov 2025 • 4:04 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Sebak, Ibu Bapa Syukur Lihat Anak Perempuan Tamatkan Pengajian

Setiap kali tiba musim majlis konvokesyen, media sosial pastinya dipenuhi dengan wajah-wajah ceria graduan yang diraikan.

Berjubah konvokesyen serta topi mortarboard, terukir senyuman penuh bangga sambil menggenggam segulung skrol pada hari penuh bermakna ini.

Namun, di sebalik senyuman yang terukir, ada linangan air mata yang tidak pernah berhenti mendoakan kejayaan buah hati mereka, berdiri di atas pentas.

Saat nama dipanggil dan langkah diatur menuju pentas, hati ibu dan ayah turut melangkah bersama, sarat dengan penuh rasa syukur yang sukar digambarkan.

Begitulah momen menyentuh hari yang dikongsikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), antara ibu bapa dan anak perempuan mereka, Nor Hasya Najwa Ayob sewaktu majlis konvokesyen yang ke-20 universiti berkenaan baru-baru ini.

Air Mata Syukur Ibu Ayah Sentuh Hati Ramai

Menerusi video tersebut, kedua mereka dilihat yang tidak menahan air mata gembiranya tatkala menyaksikan anak perempuan, yang juga graduan dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam berjaya menamatkan pengajian.

“Tengok anak berjaya ni memang saya bersyukur sangat,” luah bapanya menerusi rakaman tersebut.

Ketika ditemu bual, ibu kepada Hasya turut mengimbau kembali saat anaknya mendepani pelbagai cabaran dalam pembelajaran khusunya sewaktu pandemik melanda negara.

“Alhamdulillah. Masa mula-mula dapat tahu dia diterima masuk UMPSA kita memang gembira lah. Mak mana yang tak suka anak dapat masuk universiti kan. Sewaktu dia masuk tu (tempoh) PKPB kan, jadi belajar daripada rumah.

“Adalah dalam sebulan dia cuba belajar dari rumah, dalam talian. Lepas tu dia rasa tak semangat, dia putus asa. Dia nak keluar daripada UMPSA, saya puas pujuk dia. Sebulan dia tak keluar rumah, makan tak, semua tak.

“Saya pujuk jangan jadi seperti ibu, ibu nak belajar tak boleh sebab ibu orang susah. Kakak habiskan belajar,” kongsinya.

Dihimpit Kemiskinan

Biarpun diuji dengan kemiskinan, namun bagi ibunya, dia dan suami tetap berusaha membanting tulang bagi menampung keperluan Nor Hasya di universiti.

Malah, dia mahu anak perempuan mempunyai masa depan yang lebih cerah dalam pembelajaran.

“Saya orang susah, (belajar) pun sampai Diploma Pengajian Islam di UTM, tapi tak habis pasal modal sendiri.

“Zaman dulu kan tak ada biasiswa. Bila anak berjaya macam ni, saya bersyukur, alhamdulillah,” kongsi bapanya dengan nada sebak.

Menerusi ruangan komen, warga maya turut menahan sebak melihat kejayaan Hasya. Malah, ada juga yang sempat menitipkan pesan buatnya.

Semoga kejayaan Nor Hasya Najwa menjadi tangga yang mengubah hidup keluarganya.

@umpsamalaysia

Tangisan ibu dan ayah mengiringi kejayaan Nor Hasya Najwa binti Ayob, graduan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam, apabila cinta hati mereka kini berjaya bergelar jurutera. Bertambah sayu mengingatkan cita-citanya yang pernah terhenti di tengah jalan akibat kemiskinan. Namun kini, impian seorang ayah akhirnya menjadi kenyataan apabila anaknya berjaya menggenggam sekeping ijazah aset paling berharga sebagai bukti kegigihan dan usaha keras menuntut ilmu di menara gading untuk dikongsi bersama insan tersayang. #KonvokesyenUMPSA #MKK20 #umpsamalaysia #fyp #ibuayah