
AMPANG – Jenazah anak kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, kira-kira jam 10.40 pagi Selasa.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila hampir 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai serta rakan selebriti hadir memberikan penghormatan terakhir buat arwah yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 23 tahun.
Majlis pengebumian berlangsung dalam keadaan tenang dan teratur. Amyza yang kelihatan tabah bagaimanapun tidak dapat menahan sebak ketika memberikan penghormatan terakhir buat anak tercinta.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Al Khairiah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana untuk dikebumikan.
Antara rakan artis yang turut hadir termasuk Norman Hakim, Memey Suhaiza, Zed Zaidi, Didie Alias, Shah Jazsle, Fizz Fairuz serta beberapa lagi selebriti tanah air.
Bertarung Hampir Setahun Lawan Kanser
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 10.15 malam Isnin selepas hampir setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Berita pemergian itu dikongsikan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories miliknya pada malam sama, sekali gus mengundang rasa simpati dan doa daripada orang ramai.
Untuk rekod, pada Februari tahun lalu, Amyza mendedahkan anak sulungnya itu disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Selang setahun kemudian, anak keduanya, Adrian Adam, 18, turut disahkan menghidap kanser tulang, satu lagi ujian berat yang dikongsikan aktres berkenaan di media sosial sehingga mengejutkan ramai.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – The Malaysian Update
The post Sebak Iringi Pengebumian Anak Amyza Aznan, 300 Hadir Beri Penghormatan Terakhir appeared first on The Malaysian Update.


