
USAHAWAN dan personaliti media sosial, Christy Ng tampil meluahkan simpati selepas menonton video rumah pengguna begnya dikenali sebagai Ain musnah dalam kebakaran.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Christy atau nama penuhnya Christina Ng, 38, mengakui terkejut selepas melihat video tersebut dan beg tangan jenamanya itu berada dalam keadaan separa baik walaupun keseluruhan rumah di Gerik itu hangus dijilat api.
“Christy nak mengucapkan salam takziah kepada Ain dan keluarga disebabkan rumah yang terbakar di Gerik, Perak. So bila Christy ternampak video tu, memang Christy sangat terkejut dan Christy harap Ain dan keluarga akan tabah menghadapi dugaan ini.

“Antara yang menarik perhatian Christy di sini adalah beg tangan Christy Ng yang berada di dalam rumah waktu kebakaran.
"Tapi Ain boleh terjumpa RM30 duit raya yang masih berada dalam keadaan yang elok. So Christy percaya ini adalah isyarat daripada Tuhan untuk Christy datang bantu.
"Christy percaya dalam rezeki Christy tertulis juga nama Ain. Jadi Christy akan potong gaji mereka (bergurau) untuk salurkan kepada saudari,” katanya.
Dalam masa yang sama, Christy juga memaklumkan dia dan pasukannya akan berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga wanita itu.
“Team Christy akan cuba sedaya upaya untuk bantu Ain. Christy sentiasa doakan Ain dan keluarga sentiasa sihat, selamat dan tabah menghadapi dugaan ini. Christy tak sabar untuk berjumpa nanti,” tambahnya.
Menerusi perkongsian tersebut, Christy juga dilihat sempat dan bertanyakan keadaan terkini Ain dan keluarganya.

Difahamkan, kediaman berkenaan didiami 10 isi rumah termasuk adik kepada Ain yang sedang berpantang selepas bersalin.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas itu
Terdahulu, video seorang wanita menerusi laman sosial TikTok menjadi perhatian ramai selepas berkongsi duit raya miliknya terselamat dalam sebuah kebakaran.
Lebih mencuit hati, wang berjumlah RM30 itu dilaporkan tidak hangus kerana disimpan di dalam beg Christy Ng.
Dia turut memuji ketahanan beg berkenaan yang mampu melindungi barangan yang disimpan di dalamnya.

