Sebalik Keceriaan Dan Semangat Patriotisme, Tersimpan Tangisan Dalam Seorang Badut

31 Aug 2022 • 12:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Uncle Ting Tong lengkap berpakaian corak Jalur Gemilang siap untuk menggembirakan pengunjung Dataran Merdeka - Gambar oleh Alif Omar

WALAUPUN saban hari, dia berjaya menggembirakan orang ramai dengan aksi badut, tiada bayaran lumayan yang diraih. Cukup sekadar melihat kanak-kanak gembira dan ibu bapa tersenyum, hatinya sudah cukup puas.

Namun, menggembirakan orang ramai sahaja tidak cukup. Roslee Yusop, 55, atau lebih dikenali sebagai Uncle Ting Tong, merasakan, tanggungjawab untuk menyelitkan semangat patriotik sempena ketibaan sambutan kemerdekaan negara kali ini perlu dilakukan.

Menjadi satu-satunya penggiat seni badut kaki panjang yang menggayakan corak Jalur Gemilang sebagai ‘seragamnya’, seniman jalanan ini semakin giat berkarya menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-65, hari ini.

“Seni saya sememangnya hanya untuk menghiburkan orang awam, namun dalam masa sama saya mahu menyuntik semangat kecintaan terhadap negara. Ini antara tujuan saya memilih kostum menggunakan corak Jalur Gemilang.

“Walaupun usaha saya ini tidak pernah menjanjikan pendapatan tetap, tetapi saya teruskan kerana minat yang mendalam. Saya akan teruskan… selagi masih ada kudrat, saya akan teruskan sehingga usia 70 tahun,” ujar Rosless.

Setelah 11 tahun bergiat secara aktif, Roslee pernah menyertai kelab-kelab badut pada tahun 2011 namun memilih untuk kembali bergerak secara solo.

Bagaimanapun, tiada siapa yang sangka di sebalik senyum tawa menghiburkan orang ramai, terdapat 1,001 duka yang harus ditelannya sendiri.

Ini kerana kesemua anaknya menghidapi penyakit genetik sel darah merah, talasemia, sejak lahir yang memerlukan kekerapan rawatan susulan.

Namun itu tidak melunturkan semangat anak lelaki tunggal Roslee, Muhammad Nirwan, 19, bagi menyambung legasi aksi badut jalanan bapanya.

Dedikasi yang ditonjolkan Roslee, telah berjaya menarik minat Muhammad Nirwan untuk meneruskan aksi bapanya menghiburkan orang ramai di jalanan.

Bagi Muhammad Nirwan, minatnya tidak dipaksa sesiapa dan seperti ayahnya, dia sanggup meluangkan kebanyakan masa untuk menghiburkan orang awam.

“Sejak dari kecil memang saya akan ikut apa yang ayah buat. Mula-mula saya perhatikan dahulu lenggok dan kaedahnya sehingga saya mampu buat sendiri.

“Dalam masa sama, ayah juga memang berikan galakan kepada saya untuk teruskan seni jalanan ini,” kata Muhammad Nirwan yang kini masih mengikuti rawatan susulan talasemia di Hospital Ampang.

Jurufoto Getaran, ALIF OMAR, menyelami hati Uncle Ting Tong sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini. - Getaran, 31 Ogos 2022

image is not available
Roslee Yusop komited untuk menggembirakan orang ramai dengan cara beliau.

image is not available
Bukan mudah untuk mengendalikan aksi badut kaki panjang di depan khalayak ramai.

image is not available
Roslee bersama anak-anaknya yang mengidap talasemia tetap mahu menggembirakan orang ramai walaupun mereka dalam kedukaan.

image is not available
Dataran Merdeka sudah sinonim dengan aksi badut Uncle Ting Tong sejak 11 tahun yang lalu.

image is not available
Muhammad Nirwan merasakan dia perlu meneruskan legasi bapanya menggembirakan orang ramai walaupun dia sendiri sedang sakit.

image is not available
Persediaan sebelum memulakan aksi badut kaki panjang dilakukan dengan berhati-hati.

image is not available
Melihat komitmen bapanya, Muhammad Nirwan turut mengikut jejak langkah menjadi seorang penghibur.

image is not available
Pakaian bercorak Jalur Gemilang menaikkan semangat Uncle Ting Tong sempena sambutan hari kemerdekaan ketika ini.

image is not available
Orang ramai terutama kanak-kanak teruja dengan pakaian corak Jalur Gemilang yang digunakan Uncle Ting Tong.

image is not available
Aksi menghiburkan Uncle Ting Tong dan anaknya membuatkan mereka disenangi oleh orang ramai.

image is not available
Walaupun terpaksa menyimpan kedukaan semua anak-anaknya mengidap talasemia, menggembirakan orang ramai akan tetap diteruskan sehingga umurnya 70 tahun.