Dalam satu kenyataan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa sebanyak 3,670 laman web lucah telah disekat di Malaysia daripada tahun 2022 hingga 15 Februari 2025. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membanteras kandungan yang tidak bermoral dan melindungi rakyat Malaysia daripada bahaya kandungan lucah dalam talian. Selain itu, sebanyak 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah turut diturunkan bagi tempoh masa yang sama.

Fahmi berkata, tindakan pemantauan proaktif oleh SKMM serta kerjasama penyedia perkhidmatan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan iklan bahan lucah di media sosial dapat dikenal pasti, disekat dan diturunkan dengan kadar segera. SKMM juga komited untuk melaksanakan pelbagai langkah pencegahan lebih berkesan dalam mengekang penyebaran kandungan lucah di platform digital. Turut dimaklumkan bahawa SKMM mempunyai pasukan khusus yang menerima aduan orang ramai dan melakukan tindakan penguatkuasaan berdasarkan maklumat yang diterima.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah dan bahaya. Dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak diharapkan usaha ini dapat melindungi orang ramai daripada kandungan yang tidak bermoral.



