Sebaran ajaran sesat di Perak terkawal, dalam pemantauan pihak berkuasa

16 Jul 2026 • 5:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sebaran ajaran sesat di Perak terkawal, dalam pemantauan pihak berkuasa
Saarani (tengah) ketika menyaksikan gimik penyerahan replika kunci Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak kepada Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, Ipoh pada Khamis.

IPOH - Penyebaran fahaman ajaran sesat di Perak masih terkawal dan berada dalam pengetahuan pihak berkuasa agama negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap aduan atau maklumat berkaitan fahaman menyeleweng itu sentiasa dipantau serta disiasat oleh agensi berkaitan.

"Ada, memang ada. Tetapi saya tidak dapat memberikan angka. Apa yang penting, keadaan masih dalam kawalan kita.

"Maknanya, setiap peristiwa itu kita tahu, laporan kita tahu. Jadi nak kata kita biarkan, tidak. Memang dalam pengetahuan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan isu penyebaran ajaran sesat menjadi cabaran baharu apabila ia turut bergerak di alam maya dengan dijalankan secara tertutup dan berselindung di sebalik program tertentu.

Perkembangan itu menuntut pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa agama termasuk kerjasama antara agensi di peringkat negeri dan Persekutuan bagi mengekang penularan fahaman yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, sebarang penyebaran fahaman yang bercanggah dengan agama Islam dibincangkan dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikannya, melibatkan laporan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Mufti.

Kata beliau, sekiranya terdapat aduan atau keraguan daripada orang ramai berhubung sesuatu tingkah laku yang disyaki sebagai ajaran sesat, JAIPk dan Jabatan Mufti akan turun padang untuk menjalankan siasatan.

"Sultan Perak selaku Ketua Agama Negeri turut mengambil maklum akan perkara ini.

"Malah baru-baru ini saya bersama Timbalan Mufti dan Pengarah JAIPk telah dipanggil menghadap Tuanku untuk memberikan taklimat berhubung perkara ini,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved