
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa, haruslah mematuhi prinsip perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu.
Menurut Perdana Menteri, martabat bahasa Melayu harus diangkat sesuai dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, dan penguasaannya mesti dimantapkan dalam kalangan rakyat.
Sekiranya prinsip dan soal itu telah dilakukan, katanya, baharulah cadangan bagi memantapkan penguasaan bahasa lain dan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) boleh dikemukakan
“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
“Saya nak jelaskan begini, ini Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, di Langkawi hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta UEC diiktiraf.
Ditubuhkan pada 1975, UEC ialah peperiksaan bagi sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia. Di peringkat nasional, UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan dan universiti awam
Dalam pada itu, Anwar berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara.
Beliau berkata sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata martabat bahasa Melayu harus diangkat sesuai dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, dan penguasaannya mesti dimantapkan dalam kalangan rakyat.
“Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu, bahasa bidang teknologi baru, bahasa AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu, itu mesti dimantapkan dan penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat.
“Semua aliran...saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa…dia boleh menggunakan perantaraan bahasa Inggeris tapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu,” kata beliau.
Anwar berkata sebarang cadangan yang menjurus kepada satu bahasa atau satu kaum serta meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara, dilihat akan membawa kepada masalah.
Justeru, Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa, haruslah mematuhi prinsip perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu. - 12 Disember, 2025
The post Sebarang tuntutan termasuk soal bahasa, pengiktirafan UEC perlu utamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan appeared first on Scoop.
