
Sebelum Terbang, Baca Ini Dulu: 10 Tip Keselamatan di Airport
Lapangan terbang sentiasa menjadi nadi pergerakan manusia dari seluruh dunia. Ia merupakan tempat di mana pelbagai watak, bahasa dan destinasi bertemu dalam satu ruang yang sibuk dan bertenaga.
Dalam kesibukan mengurus tiket, mencari pintu pelepasan dan memastikan masa penerbangan tidak terlepas, ramai penumpang hanya memberi tumpuan kepada perjalanan bukan pada keselamatan diri.
Ramai yang tidak sedar bahawa lapangan terbang juga boleh menjadi lokasi di mana jenayah kecil dan kehilangan mudah berlaku tanpa disedari.
Dalam lautan manusia yang berpusu-pusu, sebuah keputusan yang kelihatan kecil seperti menolong menjaga beg orang lain atau meninggalkan dompet seketika boleh menjadi kesilapan besar.
Lebih malang, ramai mangsa tidak sedar mereka sedang diperdaya sehingga terlambat. Ada yang kehilangan barangan berharga, ada pula yang berdepan siasatan hanya kerana terlalu percaya kepada individu yang tidak dikenali.
Kesedaran tentang keselamatan mungkin kedengaran remeh. Namun ia sebenarnya menjadi garis halus antara perjalanan yang tenang dengan pengalaman cemas yang boleh menghantui sepanjang hayat.
Oleh itu, sebelum anda menjejak kaki ke balai pelepasan seterusnya, luangkan masa untuk memahami dan mengamalkan sepuluh langkah keselamatan penting di airport ini.
Dengan langkah berjaga-jaga yang betul, setiap perjalanan anda bukan sahaja akan lebih menyeronokkan tetapi juga bebas daripada risiko yang tidak dijangka.
1. Jangan jadi penjaga kepada beg orang lain
Mungkin anda pernah didatangi seseorang yang meminta tolong untuk pegang dan tengokkan beg beliau sekejap sementara mereka ke tandas atau membeli minuman.
Nampak seperti permintaan kecil tetapi di lapangan terbang ini adalah satu kesilapan besar. Anda tidak tahu apa kandungan dalam beg itu dan jika pihak keselamatan menjalankan pemeriksaan secara rawak, anda mungkin disoal siasat seolah-olah pemilik sebenar.
Banyak kes penyeludupan dadah dan barangan terlarang bermula dengan taktik seperti ini. Jadi, biarpun rasa tidak enak menolak, katakan tidak dengan sopan. Dalam hal keselamatan, lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian hari.
10 Perkara Ramai Tak Tahu Tentang Keselamatan Diri di Airport
2. Hanya daftar masuk barang milik sendiri sahaja
Satu lagi kesilapan lazim ialah membantu orang lain check-in bagasi mereka. Kadangkala rakan atau kenalan baru yang mesra akan meminta anda daftarkan beg mereka sekali kerana had berat bagasi mereka sudah melebihi.
Niat anda mungkin ikhlas tetapi akibatnya boleh membawa bencana. Setiap bagasi yang didaftarkan atas nama anda menjadi tanggungjawab penuh anda.
Jika di dalamnya terdapat barang larangan, senjata atau dadah, anda yang akan dipersalahkan dan bukan pemilik sebenar.
Tiada sebarang alasan yang boleh menyelamatkan anda di mata undang-undang. Ingat, hanya barang milik anda yang patut berada di bawah nama anda.
3. Kenal pasti bagasi anda dengan teliti
Sebaik tiba di destinasi, suasana di kawasan pengambilan bagasi sering kali kelam-kabut. Ramai penumpang teruja mahu segera keluar lalu terus mencapai beg yang kelihatan sama seperti milik mereka tanpa memeriksa tag nama.
Kesilapan kecil ini boleh membawa padah. Bukan sahaja anda mungkin mengambil beg orang lain tetapi juga menyusahkan pemilik sebenar.
Jadikan kebiasaan untuk menyemak tag nama dan nombor penerbangan sebelum meninggalkan kawasan tersebut. Letakkan tanda unik seperti reben berwarna, stiker khas atau tali pengenalan agar beg anda mudah dikenali walau dari jauh.
4. Ambil gambar bagasi sebelum daftar masuk
Langkah ini mungkin nampak remeh tetapi sangat membantu jika berlaku kehilangan, kerosakan atau pertukaran bagasi.
Ambil gambar beg anda dari pelbagai sudut termasuk tag penerbangan yang dilekatkan oleh pihak syarikat.
Jika anda perlu membuat laporan di kaunter kehilangan bagasi, gambar ini akan memudahkan pihak lapangan terbang mengenal pasti beg anda dengan lebih cepat.
Ia juga menjadi bukti penting jika anda membuat tuntutan insurans. Dalam dunia digital kini, langkah semudah snap gambar boleh menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.
5. Kumpulkan semua dokumen penting dalam satu beg kecil
Selain itu, pasport, tiket, kad pengenalan, lesen memandu dan kad debit, semua ini adalah dokumen penting yang perlu anda bawa dengan selamat.
Ramai penumpang meletakkan dokumen ini di tempat berbeza lalu panik apabila tiba masa perlu menunjukkannya di kaunter imigresen.
Cara yang paling praktikal ialah menyimpan semuanya dalam satu beg kecil, nipis, dan mudah dicapai seperti pouch atau beg silang badan. Beg ini sebaiknya sentiasa berada bersama anda.
Jangan sekali-kali diletakkan di dalam beg daftar masuk. Dengan penyimpanan yang teratur, perjalanan anda akan terasa lebih lancar dan bebas tekanan.
6. Jangan benarkan orang asing menggeledah beg anda
Pihak keselamatan lapangan terbang hanya terdiri daripada individu beruniform dan berkuasa. Berhat-hati jika seseorang tanpa pengenalan rasmi meminta membuka atau memeriksa beg anda.
Penjenayah sering menggunakan helah menyamar sebagai pegawai untuk mencuri atau menanam barang terlarang ke dalam beg penumpang.
Jangan takut untuk menolak dengan sopan tetapi tegas. Jika ragu-ragu, minta mereka menunjukkan kad pengenalan rasmi atau terus ke balai keselamatan berhampiran.
7. Asingkan wang kecemasan dari dompet utama
Kehilangan dompet di lapangan terbang juga boleh menyebabkan kekacauan. Apatah lagi jika semua kad, wang tunai dan dokumen penting berada di dalamnya.
Sebaiknya, asingkan sedikit wang tunai dalam poket tersembunyi atau pouch khas.
Jumlah ini tidak perlu banyak, cukup untuk menampung keperluan asas seperti pengangkutan atau makanan jika berlaku kecemasan.
Langkah ini nampak kecil tetapi sangat membantu jika anda kehilangan dompet utama atau menjadi mangsa kecurian.
8. Waspada ketika berehat atau tidur di ruang menunggu
Bagi penumpang yang menunggu penerbangan sambungan, berehat atau tidur di lapangan terbang adalah perkara biasa. Namun jangan abaikan keselamatan.
Penyeluk saku sering menunggu peluang ketika penumpang sedang leka atau tertidur.
Jika anda perlu tidur, pastikan beg anda berada dalam genggaman atau diikat pada kerusi dengan tali keselamatan kecil.
Elakkan meletakkan beg jauh dari badan walaupun hanya seketika. Dalam situasi sesibuk lapangan terbang, kehilangan boleh berlaku dalam sekelip mata.
9. Simpan salinan digital dokumen penting
Antara lain, kehilangan pasport juga boleh menyebabkan masalah besar. Malah ada yang terpaksa bermalam di lapangan terbang hanya kerana tidak dapat membuktikan identiti diri.
Untuk mengelak perkara ini, simpan salinan digital semua dokumen penting seperti pasport, tiket penerbangan, polisi insurans dan visa di dalam e-mel atau cloud storage.
Pastikan fail-fail tersebut boleh diakses dari mana-mana peranti. Dengan cara ini, jika berlaku kecemasan, anda masih mempunyai bukti pengenalan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa atau kedutaan.
10. Sediakan pakaian dan keperluan asas dalam hand carry
Masalah kehilangan atau kelewatan bagasi bukan sesuatu yang luar biasa. Bayangkan anda tiba di negara asing tetapi beg utama masih tertinggal di destinasi asal.
Untuk menghadapi situasi ini, sediakan satu set pakaian bersih, ubat penting, barangan penjagaan diri, pengecas telefon dan sedikit snek dalam beg hand carry anda.
Dengan cara ini, anda masih boleh bergerak dengan selesa walaupun bagasi utama belum tiba. Selain itu, letakkan barangan berharga seperti kamera, laptop atau barang sentimental di dalam hand carry.
Elakkan daripada ianya dimasukkan ke dalam beg daftar masuk.
Kesimpulannya, keselamatan di airport mungkin kelihatan seperti seperti terkawal dan selamat tetapi risiko tetap ada.
Dalam dunia yang penuh dengan taktik penipuan moden, keselamatan diri bergantung pada tahap kesedaran dan disiplin anda sendiri.
Setiap langkah berjaga-jaga boleh memberikan kesan besar terhadap pengalaman perjalanan anda.
Jadi, mulai hari ini, biasakan diri untuk berfikir dua kali sebelum membantu atau mempercayai orang asing dan pastikan setiap beg yang anda pegang benar-benar milik anda.
Sumber : safeintheseat, airfrance
BACA : Jantung Laju Masa Bersenam? Ini 7 Perkara Anda Kena Tahu
The post Sebelum Terbang, Baca Ini Dulu: 10 Tip Keselamatan di Airport appeared first on Siakap Keli.



