Sebuah Pelajaran Dari Sabah #CutiCutiLocal

2 Jan 2024 • 5:00 PM MYT
Sharifuddin Lennon
Sharifuddin Lennon

Sharifuddin is a travel writer and blogger for sharifuddinlennon.com

Image from: Sebuah Pelajaran Dari Sabah #CutiCutiLocal
Kenangan menggapai penghujung tanah Borneo di Kudat (Gambar: Sharifuddin Lennon)

Sebaik sahaja aku menerima emel tentang pembatalan penerbangan aku ke Pakistan pada hujung Oktober 2021, aku langsung menempah tiket baru penerbangan yang dijadualkan berlepas pada 1 Disember. Ketika itu, otak aku mula berfikir ke manakah destinasi yang perlu aku pergi untuk mengisi kekosongan bulan November. Setelah berkira-kira dan membuat sedikit kajian, aku memutuskan untuk terbang ke Sabah setelah berjaya menyambar tiket sehala ke Sandakan dengan harga yang tidak sampai RM45.

Memandangkan Sabah merupakan satu-satunya lagi negeri yang tinggal untuk aku melengkapkan perjalanan aku ke semua negeri yang ada di Malaysia, naluri aku kuat mengatakan, “inilah masanya!” Dan pada masa yang sama, aku turut mahu merangkumkan perjalanan ini bersama Labuan kerana wilayah itu juga adalah satu lagi wilayah persekutuan yang belum pernah aku jejaki.

Sehinggalah pada hari pesawat yang aku naiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan, aku seakan masih tidak percaya yang aku telahpun sampai ke negeri terakhirku di Malaysia. Meskipun ketika sebelum berlakunya pandemik dahulu terdapat banyak tiket penerbangan murah yang boleh aku dapatkan, namun hati aku tak pernah sekalipun berkeinginan untuk berkunjung ke Sabah kerana aku lebih banyak menghabiskan masa berkelana di luar negara sejak aku mula mengembara sepenuh masa pada 2017.

Image from: Sebuah Pelajaran Dari Sabah #CutiCutiLocal
Berkhemah di Polumpong Campsite, Kota Belud (Gambar: Sharifuddin Lennon)

Kejutan pertama yang aku dapatkan di kota Sandakan ialah ketidakwujudan hostel yang aku tempah dari dalam talian. Lebih memeningkan, hostel tersebut juga tidak wujud di dalam Google Map! Hal ini menyebabkan aku terpaksa menyewa sebuah bilik yang berharga RM45/malam di Sandakan Backpackers sepanjang lawatanku di kota ini berikutan 7 buah backpackers hostel yang pernah bertapak di sini semuanya telah menghentikan operasi. Demikian dahsyatnya badai pandemik yang sama sekali telah mematikan bisnes-bisnes hospitaliti bajet di seluruh kota.

Sabah adalah negeri yang amat luas memandangkan ia negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Luasnya kira-kira dua kali ganda negeri Pahang. Perjalanan sehala dari Sandakan ke Kota Kinabalu mengambil masa lebih daripada enam jam. Kota Kinabalu ke Tawau pula mengambil masa kira-kira sembilan jam. Satu tempoh yang bahkan lebih lama daripada tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur untuk ke Kelantan.

Apa yang membezakannya adalah, tidak ada lebuh raya bertol di sini. Rata-rata rakyat Sabah menggunakan laluan yang melalui Kundasang untuk bepergian dari pantai barat ke pantai timur.

Selama berjalan di negeri ini, pelajaran pertama bagi aku adalah nama seseorang tidak menggambarkan agamanya. Pernah beberapa kali aku terkeliru samada orang-orang yang aku temui itu beragama Islam ataupun bukan. Di negeri ini, bangsa bukanlah penanda mutlak untuk meneka status agama seseorang. Agama juga tidak merujuk kepada bangsa, kaum, mahupun etnik tertentu.

Semasa dalam perjalanan dari Kampung Melangkap menuju Ranau, satu pasangan kekasih beretnik Kadazan-Dusun telah menumpangkan aku dengan jeep mereka. Pada awalnya, aku menyangka mereka bukan Muslim namun setelah berborak panjang, aku mendapat tahu yang mereka sebenarnya beragama Islam. Ketika di Kudat, aku pernah mengikut seorang lelaki tempatan yang mengundang aku minum bersama rakan-rakannya di sebuah restoran cina.

Mereka semua berbangsa Rungus. Si lelaki yang membawa aku ke restoran itu beragama Islam, tetapi rakan-rakannya berfahaman Katolik.

Hal yang demikian mungkin kerana kebanyakan daripada mereka lebih terbuka dengan konsep perkahwinan campur.

Di mata rakyat Sabah, ia bukanlah suatu hal yang pelik jika sesebuah keluarga mempunyai ramai ahli keluarga yang menganut agama yang berbeza.

Ini belum mengambil kira dari segi aspek asimilasi kepercayaan tertentu yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Keunikan gaya hidup ini jelas dapat dilihat ketika upacara tertentu seperti jika ada berlaku kematian.

Untuk mengelakkan daripada kekeliruan, aku lebih banyak menyapa orang dengan kata kata “salam” berbanding “assalamualaikum” ketika menyapa dan bersalaman dengan seseorang.

Ini kerana nama seseorang mungkin kedengaran seperti orang Islam, tetapi sebenarnya tidak.

Perjalanan sentiasa tidak pernah gagal mengajarkan kita berbagai pengetahuan baru. Di sini, aku baru tahu tentang kaum dan etnik Sabah sebenarnya lebih banyak daripada apa yang aku tahu sebelum ini seperti orang Bugis, Kadazan-Dusun, dan Bajau. Ada lebih daripada 30 kumpulan lain seperti Lundayeh, Bonggi, Paitan, Lotud, Minokok, Tidung, serta Ubian. Ada banyak bahasa yang sama sekali berbeza, namun bahasa Melayu dalam loghat Sabah telah menyatukan kesemua etnik di negeri ini.

Ketika di Tanjung Aru, seorang temanku ada menceritakan keluarga besarnya yang menganut berbagai agama. Ibunya merupakan seorang Kristian manakala bapanya beragama Islam. Dia menceritakan minggu lalu dia baru sahaja menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di sebuah gereja di Tambunan. Upacaranya amat panjang, berlangsung hampir dua jam. Ia diselangi dengan ucapan paderi, doa keagamaan, dan lantunan lagu dalam tiga bahasa termasuk bahasa Melayu. Namun bagi aku sendiri, ia bukanlah suatu perihal yang pelik apabila nama Allah ada disebut di dalam gereja kerana aku juga pernah menyaksikan hal serupa di negara jiran kita, Indonesia.

Tambahnya, majlis resepsi perkahwinan yang diadakan di negeri ini juga tidak ada banyak masalah tentang hidangan kerana tuan rumah biasanya akan menyediakan dua stesen bufet untuk orang Muslim dan bukan Muslim.

Toleransi antara kaum dan agama yang kuat ini juga dapat disaksikan pada papan-papan iklan di tepi jalan yang banyak memaparkan iklan mengenai program agama selain Islam.

Pelbagai jenis gereja dan kuil Buddha yang berukuran besar dan kecil juga mudah ditemukan di mana-mana daerah di seluruh Sabah.

Konsep keterbukaan seperti ini mungkin sukar untuk dilihat di tanah semenanjung, tapi dari sudut pandang aku sendiri yang telah banyak berkelana di berbagai negara, ini adalah apa yang disebut sebagai keharmonian.

Makan semeja dengan orang yang bukan seagama juga buka lagi perkara pelik.

Ia bukanlah hal yang tabu untuk diperkatakan dan mereka juga tidak terlalu cepat melatah mengenai isu berkaitan makanan. Mereka bukannya tidak menitikberatkan hukum, cuma rata-ratanya tidak menjadikan ia sebagai satu isu dalam pergaulan dan kehidupan harian.

Yang pastinya, mereka tetap menghormati agama dan kepercayaan masing-masing.

Meskipun aku tidak dapat mengembara ke seluruh pelusuk negeri kerana hanya ada tiga minggu untuk diisi, Sabah sempat menyedarkan aku bahawa ada banyak perkara yang perlu aku pelajari lagi daripada penduduk negeri ini. Namun pelajaran terbesar yang diajarkan di sini adalah; pentingnya toleransi bagi mengecapi kehidupan yang harmoni.

Pertanyaan tentang apa agamaku dan apa agamamu serta perbalahan tentang siapa pendatang dan siapa tuan tanah tidak akan memberikan sebarang langkah kehadapan.

Kerana ia adalah sangat penting untuk menciptakan perpaduan hidup senegara, yang hanya boleh terwujud ketika orang-orang dapat menghormati perbezaan dan menjunjung persamaan harkat kemanusiaan daripada sekadar membabi-buta membela kesempitan identiti dan agama masing-masing. Bagaimanakah kita boleh mengharapkan penyatuan keluarga malaysia, jika kita masih belum mampu berdamai dengan diri kita sendiri?

Terima kasih Sabah.

Image from: Sebuah Pelajaran Dari Sabah #CutiCutiLocal
Aneka makanan boleh didapati di pasar makanan Kota Kinabalu yang dibuka setiap petang (Gambar: Sharifuddin Lennon)
Image from: Sebuah Pelajaran Dari Sabah #CutiCutiLocal
Titik pertemuan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu di Kudat (Gambar: Sharifuddin Lennon)

Image from: Sebuah Pelajaran Dari Sabah #CutiCutiLocal

Hantar artikel/video berkaitan #CutiCutiLocal dan berpeluang menangi hadiah sehingga RM10,000! Ketahui lebih lanjut di sini.


Sharifuddin Lennon adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.