KUDAT - Bertahun-tahun menitipkan doa kepada kenalan yang mengerjakan umrah dan haji di tanah suci Makkah, agar hati dibukakan untuk menerima Islam, akhirnya doa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah dimakbulkan apabila beliau melafazkan dua kalimah syahadah di kediamannya di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, di sini pada Ahad.
Selepas lebih 10 tahun mencari pegangan hidup, Ruddy, 58, akhirnya memilih Islam sebagai jalan hidupnya dan mengambil keputusan memeluk agama itu bersama isteri Datin Seri Asiah Udin bersama anak bongsu mereka, Aswady, 26.
Menurut Ruddy, keinginan untuk memeluk Islam sudah lama terpendam sehingga beliau sering meminta kenalan yang berangkat ke tanah suci supaya menyebut namanya dalam doa agar suatu hari nanti diberikan hidayah untuk menjadi seorang Muslim.
"Ramai antara mereka yang sudah mengerjakan umrah, ada yang hadir di sini hari ini. Saya bagi sedekah dan minta mereka sebut nama saya, doakan supaya saya menjadi sebahagian daripada keluarga Islam.
"Bayangkan betapa besarnya niat saya dari dahulu lagi. Bukan baru sekarang, sudah berpuluh tahun. Demi tuhan, agama ini jangan kita main-main kerana agama adalah masa depan diri kita sendiri," katanya ketika ditemui selepas majlis pengislamannya itu.
Ruddy berkata, beliau tidak pernah mahu menjadikan agama sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kedudukan, pangkat atau kepentingan tertentu, sebaliknya keputusan itu dibuat selepas merasakan tiada lagi perkara duniawi yang mahu dikejarnya.
"Selepas pilihan raya baru-baru ini, barulah saya membuat keputusan bahawa saya mahu memeluk Islam. Tiada apa lagi yang saya kejar. Apa yang ada pada diri saya sebelum menjadi wakil rakyat sehingga kini, sudah cukup," katanya.
Mengulas detik bersejarah itu, Ruddy berkata, perasaannya sukar digambarkan selepas selesai melafazkan dua kalimah syahadah yang dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta tetamu yang hadir.
"Pada hari ini adalah hari bersejarah buat saya, isteri dan anak saya kerana kami selamat melafazkan dua kalimah syahadah. Pada saya, ini adalah hidayah yang sampai dan perasaan saya amat gembira sekali.
"Pemilihan agama ini bukan baru, tetapi sudah berpuluh tahun lamanya. Dalam tempoh kira-kira 10 tahun kebelakangan ini, kami mencari pegangan hidup dan agama yang sebenarnya mahu kami pilih kerana saya pagan dan isteri juga pagan," katanya.
Bapa kepada enam anak itu berkata, empat daripada anaknya sudah terlebih dahulu memeluk Islam dan perkara itu turut menjadi antara perjalanan yang akhirnya membawa beliau bersama isteri serta anak bongsunya memilih agama berkenaan.
"Tiada paksaan daripada mana-mana pihak, tiada ugutan dan tiada kepentingan dalam kemasukan saya ke Islam untuk mengejar pangkat atau kekayaan.
"Dunia sudah cukup pada saya. Apa yang saya kejar sekarang adalah pegangan hidup dan amal ibadat untuk akhirat," katanya.
Mengenai pemilihan tarikh pengislamannya yang hampir dengan sambutan Maulidur Rasul, Ruddy menyifatkannya sebagai satu kebetulan dan ketentuan ALLAH SWT kerana tarikh berkenaan dipilih bagi membolehkan lebih ramai keluarga serta sahabatnya hadir.
"Saya memilih hari ini kerana mahu melihat ramai kawan-kawan dapat hadir, sama ada yang beragama Kristian atau bukan Kristian.
"Syukurlah kepada tuhan dan terima kasih atas doa rakan-rakan serta anak-anak yang mahu saya berada dalam Islam. Akhirnya doa mereka selama ini termakbul. Kesimpulannya, ini adalah hidayah," katanya.
Malah, persediaan Ruddy untuk mendalami Islam sebenarnya sudah bermula sebelum lafaz syahadah apabila sebuah surau dibina di belakang kediamannya kira-kira tiga bulan lalu sebagai tempat untuk beliau belajar mengaji dan mendalami agama.
"Sebagai saudara baharu dalam Islam, sudah pasti saya mahu belajar dan merungkai segala-galanya daripada guru, imam serta ustaz. Saya bersyukur kerana ramai ustaz di daerah ini sudah menawarkan diri untuk mengajar saya selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, Ruddy turut memasang hasrat untuk mengerjakan umrah secepat mungkin bersama keluarga sebelum menyasarkan untuk menunaikan ibadah haji.
Ruddy berkata, beliau juga sudah mempunyai sedikit pengetahuan mengenai Islam sebelum memeluk agama itu dan pernah belajar asas ibadah bagi memudahkannya menyesuaikan diri sebagai seorang Muslim.
Sementara itu, beliau memaklumkan tidak bercadang menukar namanya selepas memeluk Islam selepas perkara itu dibincangkan bersama Mufti Sabah.
Sementara itu, Asiah berkata, minatnya terhadap Islam sebenarnya sudah lama berputik malah beliau pernah menyuarakan hasrat untuk memeluk agama itu kepada suaminya selepas mereka menyambut ulang tahun perkahwinan ke-30 kira-kira lapan tahun lalu.
"Bagaimanapun, Datuk meminta saya tunggu. Jadi saya tunggulah sehingga hatinya terbuka. Syukur, tahun ini hatinya akhirnya terbuka untuk kami sama-sama memeluk Islam," katanya.
Menurut Asiah, beliau tertarik terhadap Islam bermula sejak di bangku sekolah rendah ketika tinggal bersama sepupunya yang beragama Islam di Penampang.
"Ketika itu memang tiada niat untuk masuk Islam, tetapi apabila melihat mereka sembahyang, saya suka cara hidup mereka. Selepas itu saya masuk sekolah menengah di Kudat sebelum akhirnya bertemu Datuk dan kami berjodoh.
"Apabila anak-anak pula memeluk Islam, ia menambahkan lagi keinginan itu. Tetapi saya bersyukur kerana anak-anak tidak pernah mempengaruhi atau memaksa kami. Penghijrahan kami hari ini juga tiada paksaan daripada mana-mana pihak, memang setulus hati dan mungkin inilah hidayah," katanya.
Sebelum itu, lafaz dua kalimah syahadah beliau bersama isteri dan anaknya dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan turut disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Islam negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.





