Sedar-sedar duit KWSP dah licin

Personal Finance
25 Jul 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sedar-sedar duit KWSP dah licin

KUALA TERENGGANU – Saat me­­­nerima wang persaraan yang mencecah ratusan ribu ringgit, ra­mai pencarum Kumpulan Wang Sim­panan Pekerja (KWSP) bera­sakan mereka akhirnya bebas me­nikmati hasil penat lelah selepas berpuluh-puluh tahun bekerja.

Namun bagi sesetengah pe­sa­ra, kegembiraan itu hanya bersifat sementara apabila wang yang dikumpul sejak usia muda akhir­nya habis dalam tempoh singkat.

Lebih malang lagi apabila ada ka­langan pesara yang terpaksa ber­gantung hidup dengan duit pencen pasangan, selain ada yang terpaksa kembali bekerja sebagai buruh demi meneruskan ke­lang­sungan hidup.

Berkongsi pengalaman itu, seorang lelaki dari Kuala Terengganu dikenali Abdul, 66, mengakui semua wang simpanan KWSP miliknya berjumlah RM750,000 ‘licin’ dalam tempoh kurang enam tahun selepas dia bersara pada usia 60 tahun.

Bekas pengurus sebuah syarikat swasta di ibu kota itu berkata, kegagalannya menguruskan kewangan menyebabkan simpanan selama hampir 30 tahun itu habis sekelip mata.

“Sebaik pencen pada awal tahun 2020, perkara pertama dibuat ialah berpindah semula ke kampung halaman di negeri ini (Terengganu).

“Saya buat rumah baharu yang asalnya hanya memakan kos sederhana, tetapi disebabkan pandemik Covid-19, pembinaan asyik tertangguh hingga kos naik lebih RM300,000,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Abdul berkata, lebih RM80,000 daripada wang simpanan KWSP digunakan untuk majlis perkahwinan dua anaknya yang berlangsung pada tahun 2022 dan 2024.

“Saya tidak melakukan apa-apa pekerjaan selepas pencen, tetapi gaya hidup masih sama seperti dulu. Selain perbelanjaan harian, saya juga kerap bercuti bersama keluarga menggunakan simpanan KWSP. Sedar-sedar semua duit habis,” katanya.

Image from: Sedar-sedar duit KWSP dah licin
Lebih RM80,000 wang simpanan KWSP milik Abdul digunakan untuk majlis perkahwinan dua anaknya pada 2022 dan 2024. – GAMBAR JANAAN AI

Beliau bagaimanapun bernasib baik apabila isterinya yang baru bersara daripada perkhid­matan kerajaan kira-kira dua tahun lalu mempunyai pencen bulanan.

Katanya, pencen bulanan isterinya itu masih memadai untuk menanggung kos sara hidup mereka pada usia emas asalkan mereka berjimat-cermat.

“Kalau boleh undurkan masa, saya tidak akan keluarkan semua simpanan KWSP sebaik bersara dahulu supaya tidak jadi seperti hari ini.

“Sebaliknya saya akan pilih keluarkan hanya amaun yang diperlukan untuk perbelanjaan bulanan,” katanya.

Di Kota Bharu, seorang pesara pembantu am di sebuah syarikat terpaksa bekerja sebagai buruh selepas simpanan KWSP ­sebanyak RM70,000 habis digunakan sepenuhnya bagi menyara kehidupan keluarga.

Dia yang mahu dikenali sebagai Nordin, 61, mengakui tidak mempunyai pilihan sekalipun sudah menyimpan dalam KWSP selama lebih 20 tahun.

Dakwanya, dia sebelum ini menggunakan wang simpanan itu untuk membeli sebuah kereta terpakai untuk anak bongsunya yang baru sahaja memasuki alam pekerjaan.

“Selain itu, sebahagian wang KWSP saya gunakan untuk membaiki rumah. Selain itu, saya juga gunakan wang tersebut untuk majlis perkahwinan anak sulung pada tahun lalu.

“Sebagai bapa, saya mahu membantu perbelanjaan anak perempuan terutama ketika persiapan melangsungkan majlis perkahwinan,” katanya.

Nordin berkata, kesemua perbelanjaan itu menggunakan simpanan KWSP yang dikeluarkan ketika dia berusia 60 tahun.

Menurutnya, dia langsung tidak terkilan apabila kesemua wang tersebut habis digunakan dalam tempoh setahun kerana semuanya digunakan untuk membantu keluarga.

“Sekarang ini saya kembali bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu setiap bulan. Apabila ada panggilan untuk memotong rumput atau membaiki rumah, ada upah untuk saya pada hari itu.

“Kebiasaannya, saya boleh raih pendapatan RM1,000 hingga RM1,200 sebulan dan jumlah itu cukup untuk menanggung diri sendiri dan seorang anak yang masih belajar di menara gading,” katanya.

Nordin berkata, dia bersyukur apabila ti ga anak yang sudah bekerja memberikan wang per­belanjaan kepadanya setiap bulan yang digunakan untuk kegunaan harian.

“Saya kembali bekerja kerana ingin mempunyai simpanan semula selepas wang KWSP habis. Setakat ini, saya tidak terlalu terdesak kerana ada anak-anak yang membantu,” luahnya.

The post Sedar-sedar duit KWSP dah licin appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved