HUJUNG minggu ini, bermulalah musim cuti sekolah yang dinanti ramai. Dari 22 Mei hingga 7 Jun, lebuh raya utama dijangka kembali dipenuhi kenderaan apabila orang ramai mula pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga.
Tambahan pula, kali ini cutinya memang panjang dan cantik tersusun. Hari Raya Aidiladha jatuh pada 27 dan 28 Mei, diikuti pula dengan cuti Wesak pada 31 Mei serta Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun. Sebab itu ramai yang awal-awal lagi sudah mohon cuti tambahan untuk menikmati rehat lebih panjang bersama keluarga.
Sudah tentu golongan paling gembira apabila tiba musim cuti ialah anak-anak. Ibu bapa pula mengambil peluang membawa keluarga bercuti, sama ada ke destinasi pelancongan, pulang ke kampung atau sekadar berehat di dalam negara.
Namun dalam keterujaan bercuti itu, Merak Jalanan mahu mengingatkan satu perkara penting iaitu soal keselamatan jangan sesekali dipandang ringan.
Apabila jalan raya mula sesak, 7-10 jam dalam perjalanan, jangan mula memandu mengikut emosi. Hormatilah pengguna jalan raya lain dan elakkan sikap tergesa-gesa. Kalau mengantuk, berhenti berehat. Kalau penat, jangan paksa diri untuk terus memandu. Biar lambat, asalkan selamat tiba ke destinasi.
Begitu juga ketika mandi di pantai, sungai, air terjun atau kolam. Jangan terlalu leka bersembang atau terlalu fokus pada telefon bimbit sehingga terlepas pandang anak-anak.
Setiap kali musim cuti panjang, pasti ada sahaja kejadian tidak diingini yang dilaporkan. Harus diingat, cuaca tidak menentu sekarang. Pagi panas, tiba-tiba petang hujan lebat.
Apa-apa pun, kepada semua yang bakal bercuti panjang, pandulah dengan cermat dan utamakan keselamatan dalam setiap perkara.


