Sedia kerjasama, tidak berhasrat cari musuh -Shahidan

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 3:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sedia kerjasama, tidak berhasrat cari musuh -Shahidan

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) Perlis sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dan tidak berhasrat mencari musuh mahu pun mencetus pergaduhan dalam menjaga keharmonian politik di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau memilih mengambil pendekatan harmoni dalam berpolitik selagi mana gabungan tersebut tidak dicabar oleh pihak lawan.

“Saya tidak bersedia untuk berlawan, sebaliknya saya bersedia untuk berkawan. Perjuangan saya adalah untuk mengelakkan punca pergaduhan dan sentiasa mencari ruang untuk bekerjasama.

“Kita tidak merancang atau berniat untuk mencari musuh tetapi kalau musuh datang, kita tidak akan lari. Kita akan terus berada di kedudukan kita dan dengan izin Allah SWT, kita akan capai kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Arau Ke-52 di sini hari ini.

Sebelum ini, UMNO Perlis menegaskan tidak ada sebarang perbincangan dalam soal kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk PN dan akan bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman dilaporkan berkata, pendirian bergerak solo dalam PRU16 di Perlis adalah atas kehendak majoriti ahli parti dan akar umbi dengan selebihnya terserah kepada pucuk kepemimpinan tertinggi parti.

Shahidan berkata, dominasi sesebuah parti di peringkat negeri tidak menjamin kemenangan mutlak di peringkat Parlimen.

“Kita kena ingat kemenangan negeri belum menjamin kemenangan peringkat Persekutuan.

“Kalau kita kalah Persekutuan, bererti kita kalah di seluruh Malaysia. Oleh itu, apabila Barisan Nasional (BN) mahu menang di peringkat Parlimen, mereka tetap perlukan sokongan daripada Pas.

“Apa bentuk kerjasama atau perlawanan di peringkat negeri perlulah merujuk dan mendapat persetujuan kepimpinan pusat,” katanya.-UTUSAN

The post Sedia kerjasama, tidak berhasrat cari musuh -Shahidan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved