IPOH – Pengguna jalan raya disaran menyediakan alat pemadam api di dalam kenderaan apabila pulang ke kampung menjelang Aidilfitri sebagai langkah awal menangani kecemasan terutama kebakaran yang semakin kerap berlaku di jalan raya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, peralatan tersebut penting bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku kebakaran akibat kemalangan atau kerosakan kenderaan.
Menurutnya, kes kebakaran kenderaan di negeri ini menunjukkan trend membimbangkan dengan purata tiga hingga empat kes direkodkan setiap minggu melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta, motosikal dan lori.
"Ingatan juga supaya kita kena tahu di mana alat pemadam api tu diletakkan di tempat yang sesuai, kita letak di bawah kerusi penumpang supaya dengan andaian kita dapat mudah capai.
"Jangan letak di bahagian belakang, jangan letak di bonet, jadi akan menyukarkan kebolehcapaian kita untuk mendapatkan alat pemadam api itu sekiranya keadaan memerlukan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Edaran Bubur Lambuk Iftar Ramadan JBPM Perak di Bulatan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Khamis.
Hadir sama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Dalam pada itu katanya, JBPM Perak turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan menjelang musim perayaan dengan mengekalkan operasi anggota pada nisbah 80 peratus bertugas dan 20 peratus bercuti.
"Ketika ini kita mempunyai kira-kira 1,200 anggota di seluruh negeri dengan sekitar 1,000 orang bertugas manakala lebih 200 lagi diberi cuti.
"Penempatan anggota juga dibuat di lokasi strategik seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, kawasan sebelum Terowong Menora serta Tol Kemunting bagi mempercepatkan respons sekiranya berlaku kecemasan di lebuh raya," katanya.
Tambah beliau, langkah itu penting berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya pada musim perayaan yang sering menyumbang kepada pertambahan kes kemalangan.
Pada masa sama, orang ramai yang meninggalkan rumah untuk bercuti dinasihatkan memastikan semua peralatan elektrik dan dapur dimatikan bagi mengelakkan risiko kebakaran.
Sementara itu, Sayani berkata, penganjuran program memasak bubur lambuk sempena Ramadan JBPM Perak memasuki tahun kedua dengan kerjasama Pejabat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak.
Menurutnya, pada tahun ini sebanyak 60 kilogram beras digunakan bagi menyediakan bubur lambuk yang dimasak menggunakan enam periuk oleh anggota bomba dari Ibu Pejabat JBPM Perak serta Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya.
Katanya, program bermula seawal jam 9 pagi itu berjaya menghasilkan kira-kira 2,200 pek bubur lambuk yang kemudiannya diagihkan kepada kakitangan awam sekitar Meru Raya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai di bazar Ramadan di Bulatan Sultan Azlan Shah.



