Tiga gajah dihantar ke Jepun dipantau rapi

12 Mar 2026 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sandrea (kiri) memberikan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya sempena Majlis Edaran Bubur Lambuk Iftar Ramadan JBPM Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh pada Khamis.

IPOH – Kerajaan negeri Perak memberi jaminan keadaan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang dihantar ke Jepun akan dipantau rapi bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terus terjamin.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penghantaran gajah berkenaan ke Tennoji Zoo merupakan hasil kerjasama yang telah dibincangkan sejak tahun 2022.

Menurutnya, minat untuk mendapatkan gajah dari Malaysia telah disuarakan pihak zoo berkenaan dan proses itu diselaraskan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak pengurusan zoo.

"Sepanjang beberapa tahun ini beberapa siri perbincangan telah diadakan termasuk lawatan pihak Perhilitan ke Osaka bagi menilai kemudahan yang disediakan bagi memastikan ia bersesuaian.

"MoU (perjanjian persefahaman) juga telah ditandatangani sebelum ini dan ia membawa kepada penghantaran tiga gajah tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Edaran Bubur Lambuk Iftar Ramadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.

Sandrea berkata, pihak Majlis Perbandaran Taiping yang menguruskan ZTNS turut memaklumkan bahawa ketiga-tiga gajah berkenaan telah selamat tiba di Osaka.

Menurutnya, wakil ZTNS dijangka melakukan lawatan ke zoo berkenaan sekitar April depan bagi melihat keadaan gajah tersebut selain menandatangani MoU susulan dalam kerjasama dua hala itu.

Menurutnya, kerjasama itu juga melibatkan pertukaran haiwan yang mana selepas penghantaran gajah, pihak ZTNS dijangka menerima haiwan daripada Tennoji Zoo.

Sandrea menegaskan, pihak ZTNS bersama Perhilitan sentiasa memastikan aspek kebajikan haiwan diberi keutamaan sepanjang kerjasama itu berlangsung.

Sebelum ini di laman sosial threads warga net meluahkan kebimbangan terhadap kebajikan tiga ekor mamalia tersebut.

Malah terdapat petisyen yang dibuat secara dalam talian membantah tindakan membawa haiwan tersebut ke Jepun dan sehingga Khamis seramai lebih 26,000 orang menyokong petisyen berkenaan.