
IBARAT roda, hari ini di atas, esok belum tentu. Namun, masih ada penggiat seni yang hanya memikirkan gemerlapan kini tanpa mempersiapkan diri untuk masa depan.
Kerjaya dalam dunia hiburan sememangnya menawarkan peluang lumayan ketika di puncak, tetapi sifatnya tidak stabil selain bergantung kepada permintaan pasaran dan populariti.
Dalam industri yang penuh ketidaktentuan, penggiat seni perlu merancang masa depan sebelum populariti merudum. Hakikatnya, kegemilangan dalam dunia seni tidak datang dengan jaminan seumur hidup.
Lebih membimbangkan apabila sebilangan daripada penggiat seni masih terperangkap dalam perlumbaan mengejar populariti tanpa memikirkan hala tuju selepas zaman kegemilangan berakhir.
Persoalannya, jika jangka hayat kerjaya boleh menjadi singkat, sejauh mana penggiat seni memanfaatkan tempoh ketika nama masih laris untuk membina kemahiran dan peluang baharu?
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, arena hiburan dalam pelbagai cabang terutama lakonan dan nyanyian mempunyai pasang surut dengan tempoh kegemilangan yang tidak semestinya panjang.
Menurutnya, keadaan itu boleh disamakan dengan kerjaya atlet profesional yang mempunyai tempoh tertentu atau ‘tarikh luput’ untuk terus kekal berada di puncak prestasi berdasarkan pelbagai faktor.
“Industri kreatif lebih kurang seperti ahli sukan dan pemain bola sepak. Jangka hayat mereka tidak lama, ada yang hanya bertahan untuk tempoh lima atau 10 tahun.
Kita tidak nafikan ramai artis terus kekal selain sebilangan besar lagi mempunyai sumber mata pencarian lain terutama membina empayar perniagaan.
“Malah ramai dalam kalangan selebriti juga dilihat rancak menjadi duta jenama serta aktif di media sosial mengulas sesuatu produk demi menambah pendapatan. Tidak kurang juga kelompok yang peka terhadap kepentingan menyimpan wang.
“Cuma kita bimbangkan golongan yang tiada ‘backup plan’ kerana kerjaya ini tidak seperti kebanyakan profesion lain iaitu mempunyai KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) mahupun pelindungan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kecuali mereka membuat caruman sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Azmir berpandangan penggiat seni perlu diberi pendedahan lebih awal mengenai keusahawanan dan persediaan menghadapi fasa selepas kerjaya seni, bukannya hanya bertindak jika terdesak.
Beliau mencadangkan program keusahawanan dan persediaan awal persaraan diperkenalkan mengambil inspirasi daripada inisiatif persediaan kerjaya kedua untuk anggota tentera yang bersara pada usia 35 hingga 40 tahun.
Azmir berkata, ada penggiat seni yang memiliki wang tetapi kurang pengetahuan keusahawanan sehingga mudah menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.
“Artis ini ada duit tetapi ilmu keusahawanan pula tiada. Di sinilah risiko apabila mereka berurusan, ada pihak mula ambil kesempatan,” ujarnya.
Bagi menangani cabaran itu, Finas berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta SME Corp bagi menyediakan bimbingan literasi kewangan dan keusahawanan kepada para penggiat seni.
The post Sediakan payung, populariti ada tarikh luput appeared first on Kosmo Online.

