“Sedih dan mengejutkan” – Laman Rasmi Dragon Ball Umum Kematian Akira Toriyama

Entertainment
8 Mar 2024 • 12:36 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hari duka dan menyedihkan buat peminat anime terutamanya Dragon Ball apabila laman rasmi anime berkenaan mengumumkan kematian pelukis dan penciptanya Akira Toriyama yang disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun baru-baru ini.

Menurut ciapan di akaun rasmi Dragon Ball di X, pelukis dan pencipta tersebut meninggal dunia pada 1 Mac baru-baru ini akibat hematoma atau pendarahan pada bahagian kepala, antara otak dan tengkorak.

Dalam masa yang sama, ciapan tersebut mendedahkan Toriyama sebenarnya masih mempunyai beberapa karya yang sedang dalam pembikinan.

image is not available

Selain itu, kenyataan tersebut juga mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh para peminat seluruh dunia kepada karya-karya milik Toriyama seperti Dragon Ball, Dragon Ball Z, Dragon Ball Super, Sand Land dan banyak lagi.

Dilahirkan di Nagoya, Jepun pada tahun 1955, Toriyama mengeluarkan Dragon Ball pada tahun 1984 yang mengisahkan pengembaraan Goku dan rakan-rakannya menjadikan ia anime paling diminati dan ikonik sepanjang zaman.

image is not available

Tambah kenyataan tersebut, upacara pengebumian Toriyama akan diadakan secara tertutup, hanya melibatkan keluarga dan saudara atas permintaan Toriyama sendiri.

Dalam masa yang sama, laman tersebut juga mengumumkan yang mereka tidak akan menerima sebarang bunga atau pemberian yang ingin diberikan untuk memperingati mendiang selain meminta agar pihak media tidak membuat sebarang temubual bersama mana-mana ahli keluarga mendiang.

Pun begitu, kenyataan tersebut tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan upacara khas dan akan mengumumkannya sekiranya ia telah dipastikan kelak.

Sumber : X | Dragon Ball

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.