Sedih Dikatakan Tidak Cantik, Nadeera Zaini Dinobatkan Sebagai Juara Big Stage Musim Kelima

Music
10 Jul 2023 • 11:50 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Waode, Nadeera Zaini dan Putera Muhammad - Gambar ihsan Astro/AzrulRafie

Konsert akhir Big Stage musim kelima yang berlangsung malam tadi menyaksikan penyanyi berpengalaman dalam pertandingan nyanyian, Nadeera Zaini diangkat sebagai juara sekali gus menewaskan lima lagi pencabarnya yang lain.

Sebagai juara, Nadeera membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM100,000 serta peluang merakam lagu baharu bersama komposer antarabangsa Hyun Shik.

image is not available
Nadeera Zaini

Tempat kedua menjadi milik pesaing terdekatnya yang berasal dari Indonesia iaitu Waode manakala Putera Muhammad pula meraih tempat ketiga. 

Peserta dari Korea Selatan, Hoondoo menduduki tempat keempat, Aufahanie di tempat kelima dan Puteri Khareeza di tempat keenam. 

image is not available
Semua pemenang Big Stage musim kelima

Pada malam konsert akhir itu setiap peserta diberikan dua tugasan iaitu persembahan solo dan juga persembahan ‘battle mashed-up’.

Nadeera berjaya menyampaikan lagu solonya iaitu 'Never Enough' dengan cemerlang. Begitu juga ketika pusingan ‘battle’ bersama Waode dimana dia menyanyikan lagu 'Gundah'. 

image is not available
Nadeera beraksi di atas pentas

Nadeera juga berjaya menambat emosi penonton apabila berkongsi kisahnya yang sedih kerana sering dikatakan tidak cantik oleh netizen. Malah dia dilihat menangis di atas pentas saat juri tetap,  Ajai memberikan kata-kata semangat buatnya. 

Menurut juri tetap iaitu Ajai, agak sukar untuk barisan juri menentukan siapa yang layak untuk ditabalkan sebagai juara diantara Nadeera dan Waode kerana kedua-duanya memilki kekuatan yang sama. 

image is not available
Nadeera dan Waode

“Dari segi penghayatan kedua-duanya sangat kuat. Agak sukar untuk juri sebenarnya. Kami terpaksa lebih teliti dari segi penjurian. Dengar betul-betul dan periksa siapa yang paling banyak buat silap dalam ‘note’ di antara ‘flat’ dan ‘sharp’. Waode tewas kepada Nadeera kerana ada ‘note’ yang agak ‘shaky’ sedikit. Nadeera pula tepat setiap ‘note’”, katanya. 

image is not available
Ajai

Sementara itu, bagi Nadeera dia mengakui sudah lama menginginkan untuk bergelar juara seperti pertandingan Big Stage ini.

“Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Rezeki juga tidak datang dengan lambat atau cepat. Sebenarnya rezeki ini datang pada waktu yang tepat. Inilah masanya Allah berikan kepada saya. Syukur Alhamdulillah. 

“Mungkin kalau ada rezeki saya dalam bidang ini, saya tidak akan diam lagi. Saya rasa saya dah jumpa ‘team’ yang tepat. Saya akan keluarkan karya-karya saya selepas ini untuk anda semua. Saya tak akan pernah berhenti. Insha Allah,” katanya. 

image is not available
Ditanya apa yang dia mahu lakukan dengan wang kemenangan yang diterimanya, kata Nadeera banyak benda yang mahu dilakukannya

Ditanya apa yang dia mahu lakukan dengan wang kemenangan yang diterimanya, kata Nadeera banyak benda yang mahu dilakukannya. 

“Banyak perancangan sebenarnya. Kalau kita labur pada benda yang betul, Insha Allah kita dapat balik benda yang betul. Saya dah berjanji dengan ibu bapa saya. Tetapi saya tidak mahu cakap di sini. Takut tak jadi. Apa-apa pun saya simpan dalam hati saya. Niat saya selama ini, saya melangkah masuk ke Big Stage ini pun sudah ada niat,” ujarnya, 

Berikut adalah markah setiap peserta berdasarkan pemarkahan yang diberikan oleh juri tetap serta juri jemputan iaitu Datuk Ramli MS termasuklah undian penonton ;

Nadeera Zaini (68.39%), Waode (64.25%), Putera Muhammad (64.19%) Hoondoo (61.60%), Aufahanie (54.61%), dan Puteri Khareeza (49.58%). – Getaran, 10 Julai 2023