
PENGACARA tersohor, Datuk Aznil bin Haji Nawawi melancarkan tabung bagi mengumpul dana kilat untuk anak pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam.
Aznil yang mesra disapa Pak Nil menerusi Instagram berkongsi akan membuka kutipan Tabung Bantuan Untuk Adrian berkenaan untuk menampung kos perubatan dan saraan remaja itu.
Difahamkan, kutipan akan dibuat dalam masa seminggu iaitu sehingga 27 Mei 2026 ini.
"Seperti Paknil lakukan untuk tabung bantuan untuk Zamani adn Allahyarham Ibnor Riza sebelum ini, Pak Nil sudah kosongkan akaun peribadi dan mendapat kelulusan dari Maybank untuk mengumpul dana kilat untuk anak Amyza Aznan, Adrian Adam.
"Segala wang yang masuk ke dalam akaun telah dikosongkan mulai saat ini adalah untuk tujuan perubatan dan saraan Adrian Adam seratus peratus.
"Paknil akan update di IG story paknil jumlah kutipan yg terkumpul secara harian. Tabung ini dibuka untuk selama satu minggu (sehingga 27 Mei 2026)

"Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim Paknil lancarkan Tabung Bantuan Untuk Adrian Adam melalui akaun Aznil Bin Nawawi Maybank
5647 3580 1178," kongsinya yang turut berkongsi kod QR.
Inisiatif mulia dan keprihatinan Aznil menerima pujian daripada warga maya yang rata-rata tersentuh dengan usaha dilakukan pengacara berkenaan.
"Alhamdulillah, dapat bersedekah Subuh selama seminggu ini. Terima kasih Pak Nil kerana dalam masa sama membantu kami meraih ganjaran dan reda ALLAH. Semoga pada 10 hari terawal Zulhijah ini doa-doa dimakbulkan dan ibu serta anak ini sentiasa berada dalam rahmat kasih sayang-NYA."
"“Terima kasih Pak Nil. Seorang insan yang sangat baik hati."
"Insya-ALLAH, semoga dipermudahkan segala urusan. Jom rakyat Malaysia sama-sama membantu.”
Adrian terdahulu disahkan menghidap osteosarkoma atau kanser tulang pada 19 Februari lalu.





