Segera lapor kes keganasan rumah tangga

LocalPolitics
29 Aug 2024 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Clarence Dol

BEAUFORT: Kes keganasan rumah tangga perlu dilaporkan dengan segera kepada pihak berkaitan bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.

Katanya, masyarakat perlu sedar keganasan rumah tangga bukan sahaja berlaku dalam bentuk fizikal.

“Ia mungkin secara lisan (seperti kata-kata ugutan, menjerit atau memarahi) dan mental (seperti menakut-nakutkan sehingga trauma psikologi berlaku) atau menyebabkan seseorang kehilangan kuasa untuk melawan situasi ganas.

“Statistik keganasan rumah tangga di Sabah sendiri mencatatkan sebanyak 345 kes pada 2023 dan 107 kes sehingga Feb 2024 hasil dapatan D11, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Sabah.

SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more “Bagi kawasan Beaufort, 11 kes dilaporkan pada 2023 dan tiga kes sehingga Feb 2024,” katanya.

Justeru, katanya, setiap orang bertanggungjawab untuk memastikan keganasan rumah tangga ditangani sejak awal untuk memberi impak positif kepada masa depan mangsa dan ahli keluarga terdekat.

“Dalam hal ini, saluran bantuan sudah sedia ada dan perlu disebarkan untuk pengetahuan umum,” katanya.

James, yang juga Adun Sugut berkata demikian apabila merasmikan Program Outreach Santuni Wanita “Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita” bagi kawasan Klias dan Lumadan.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri KPMKR merangkap Adun Tulid, Datuk Flovia Ng.

James mengucapkan terima kasih kepada penganjur, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, Unit Pemimpin Masyarakat (UPPM) Klias dan Lumadan atas inisiatif penganjuran program itu.

“Tahniah dan terima kasih kepada Adun Klias Datuk Isnin Aliasnih dan Dioslin Alin @ Augustine mewakili Adun Lumadan Datuk Ruslan Muharam kerana begitu prihatin terhadap keperluan masyarakat di sini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengarah Jhewa Sabah Haslina Ismail, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun serta PPM Klias dan Lumadan kerana memastikan penganjuran program ini berjalan dengan jayanya,” katanya.

James berkata Program Outreach Santuni Wanita merupakan inisiatif baharu projek berimpak tinggi dalam sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju KPMKR bagi tempoh 2021 hingga 2025 di bawah Rancangan Maju Jaya (SMJ) Sabah.

“Matlamat utama program ini adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan membantu rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang dibawakan khas daripada jabatan kerajaan seperti Jhewa serta agensi terlibat.

“Sejak Nov 2021, program yang dijalankan dengan kerjasama rakan strategik menjadi platform penyampaian perkhidmatan yang berkesan dalam usaha memperkasa wanita dan masyarakat amnya.

“Ini penting supaya wanita, khususnya, terus relevan dan memenuhi keperluan semasa sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Sabah terhadap kelestarian dan kesejahteraan wanita serta masyarakat di Sabah,” katanya.

James menambah, sepanjang program ini dijalankan, Jhewa telah pun mencapai hampir 4,700 orang di 52 kawasan DUN yang dilawati sepanjang 2021 sehingga Ogos 2024.

Pada dasarnya, selain menekankan isu undang-undang dan sosial di sesebuah kawasan pilihan raya, program itu juga menumpu kepada keusahawanan, pemerkasaan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan dan kesihatan rakyat.

Turut dibincangkan, katanya, ialah isu hak wanita dalam perkahwinan dari sudut undang-undang dan penyalahgunaan dadah yang harus dibanteras di semua peringkat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.