Segera tubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan tangani krisis tenaga kerja - HDK

LocalHealth & Fitness
25 Apr 2026 • 3:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Segera tubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan tangani krisis tenaga kerja - HDK
HDK meminta kerajaan untuk menunaikan janji menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) bagi menangani krisis itu.

KUALA LUMPUR - Hartal Doktor Kontrak (HDK) menyatakan sokongan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab di atas ketelusannya dalam menangani krisis sistemik yang menjejaskan tenaga kerja penjagaan kesihatan negara.

HDK berkata, pengakuan Mahathar terhadap kelemahan sistemik mengesahkan kebimbangan yang ditimbulkan oleh doktor muda mengenai proses pengambilan pekerja yang tidak cekap dan kekurangan penyelarasan antara agensi kerajaan.

"Kami telah berulang kali membangkitkan kebimbangan ini dan memberi amaran bahawa situasi ini akan berlaku.

"Namun suara kami disambut dengan senyap kerana ramai yang takut akan tindakan balas dan akhirnya dibungkam,” kata dalam satu kenyataan pada Sabtu.

HDK berkata, krisis itu tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi berpunca daripada struktur lama yang melibatkan penyelarasan pelbagai agensi.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus menghasilkan graduan tanpa kuota nasional yang selaras dengan keperluan perkhidmatan.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kekal sebagai halangan utama dengan mengehadkan jawatan tetap dan memaksa pergantungan berterusan kepada model 'pengambilan sementara' yang telah gagal.

"JPA masih bergantung kepada data lapuk dan bertegas bahawa jumlah tenaga kerja kesihatan semasa adalah mencukupi, sedangkan realiti di lapangan jauh berbeza daripada apa yang tercatat di atas kertas," ujarnya.

Menurut kenyataan itu, apabila hanya 529 graduan melapor diri daripada lebih 5,000 jawatan yang ditawarkan, baru-baru ini menunjukkan sistem kesihatan negara sedang gagal.

Katanya, HDK meminta kerajaan untuk menunaikan janji menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) bagi menangani krisis itu.

"HDK tidak bersetuju dengan kesimpulan sebelum ini bahawa SPK tidak diperlukan atau 'bertindih' dan dakwaan bahawa agensi sedia ada mencukupi adalah penafian terhadap realiti yang kami hadapi setiap hari.

"Pertindihan kuasa yang wujud kini adalah punca kepada kelewatan, kekeliruan, dan ketiadaan akauntabiliti," katanya lagi.

HDK berkata, sektor itu memerlukan sebuah suruhanjaya khusus dengan mandat undang-undang untuk menyelaras keseluruhan proses latihan, pengambilan dan penempatan doktor.

"Selain itu, ia desentralisasikan pengurusan pekerjaan perkhidmatan kesihatan daripada JPA bagi memastikan keperluan khusus sektor perubatan dipenuhi.

"Dan menjamin laluan kerjaya tetap yang memberikan keselamatan pekerjaan dan maruah profesional," ujarnya.

Katanya, isu berkenaan tidak boleh lagi kekal dalam peringkat 'pertimbangan' atau ditangguhkan dalam satu lagi 'kajian kebolehlaksanaan'.

Sebagai pembuat dasar, jelasnya, menteri dan Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengatasi kelembapan birokrasi.

"Kami menuntut garis masa yang jelas dan tindakan segera kerana ini bukan lagi perkara untuk dibincangkan, dikaji tanpa henti atau ditangguhkan melalui pembentukan jawatankuasa baharu.

"Ini adalah soal kelangsungan negara. Mereka mesti bertanggungjawab atas setiap pesakit yang menerima rawatan tidak memadai akibat kekurangan tenaga kerja yang disengajakan," katanya lagi.