Perak digesa contohi Selangor tubuh jawatankuasa khas tangani krisis ekonomi

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak digesa contohi Selangor tubuh jawatankuasa khas tangani krisis ekonomi
Razman (tengah) dalam sidang akhbar pada Rabu.

IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menggesa kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kesan krisis ekonomi susulan konflik Asia Barat, seperti dilaksanakan di Selangor.

Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan penglibatan pakar ekonomi bagi merancang langkah mitigasi yang berkesan memandangkan tanda-tanda tekanan ekonomi sudah mula dirasai rakyat.

“Selangor dah nampak kesan ini, sebab itu mereka tubuh jawatankuasa. Kenapa kita belum ada lagi? Kita juga patut buat persediaan.

"Saya beri contoh, bila kita nampak hujan sudah lebat, kemungkinan banjir. Jadi kita buat persediaan. Kalau tak berlaku, Alhamdulillah. Kalau berlaku, kita sudah bersedia,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu dikemukakan dalam perbahasan DUN sebagai langkah awal mendesak kerajaan negeri bertindak.

"Saya cadangkan di sini (Sidang DUN) kerana inilah tempat sepatutnya, tetapi saya kira kerajaan negeri sendiri sepatutnya lebih proaktif tanpa menunggu cadangan dibangkitkan.

"Kesan krisis ekonomi berpotensi menjadi lebih parah berbanding pandemik COVID-19, jadi kita perlu buat perancangan tangani lebih awal," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan kos sara hidup ketika ini memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya dari segi kuasa beli yang semakin merosot.

Katanya, pendapatan yang sebelum ini mencukupi kini tidak lagi mampu menampung keperluan harian akibat kenaikan harga barangan dan kos pengangkutan.

“Dulu gaji RM2,000 boleh tampung banyak perkara, sekarang kuasa beli semakin berkurang. Rakyat mula kurangkan perbelanjaan termasuk makan di luar dan melancong.

"Situasi ini secara tidak langsung akan menjejaskan sektor ekonomi lain dan boleh membawa kepada kehilangan pekerjaan," katanya.