
Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengarahkan pelan pemulihan disegerakan bagi kawasan banjir dan tanah runtuh di Sabah, sambil menegaskan tahap kemusnahan yang berlaku “bukan keadaan biasa” dan tidak boleh ditangani melalui prosedur rutin.
Anwar, yang pada Isnin lalu mengumumkan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mangsa, tiba di Kota Kinabalu untuk lawatan kerja setengah hari bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi meninjau sendiri kerosakan.
Lawatannya bermula di Country Heights, Penampang yang dilanda tanah runtuh, sebelum ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan St Paul, Kolopis dan PPS Kampung Sarapung, di mana beliau mendengar sendiri kebimbangan mangsa.
Perdana Menteri kemudian meninjau Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Gaya yang turut terjejas akibat tanah runtuh, mencetuskan kebimbangan serius berkaitan keselamatan dan infrastruktur.
Bercakap kepada media, beliau berkata bantuan awal ditumpukan kepada makanan, tempat tinggal dan keperluan asas, manakala fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada pembinaan semula infrastruktur penting.
“Setakat ini RM10 juta telah diperuntukkan, tetapi kita lihat ada keperluan tambahan sekitar RM1.5 juta hingga RM3 juta yang boleh diselaraskan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Perkara paling penting bukan sekadar bantuan tunai, tetapi memastikan perumahan, kemudahan asas dan sekolah untuk anak-anak dapat dipulihkan segera,” katanya.
Mengenai isu IPGM, beliau berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah membentangkan laporan awal kepada Jemaah Menteri minggu lalu dan laporan penuh sedang ditunggu.
“Saya minta semua perkara dipercepatkan. Jika ikut proses biasa, ia akan mengambil masa terlalu lama.”Anwar turut memuji usaha agensi negeri dan persekutuan, termasuk pasukan bekalan elektrik dan penyelamat, yang bekerja tanpa mengenal penat lelah.
“Rakyat berbangga dengan pengorbanan ini,” katanya.
Beliau tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 2.15 petang dan disambut Hajiji bersama pimpinan negeri, sebelum menerima taklimat bencana daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

